Majlis Ekonomi Digital Negara lantik 26 ahli
SHAH ALAM - Seramai 26 orang dilantik bagi menganggotai Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Ke-4 (MED4IRN).
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bertindak sebagai Ketua Sekretariat.
Kementerian Ekonomi berfungsi sebagai pemudahcara untuk inisiatif ekonomi digital negara dengan menyelaras usaha lintas-kementerian melalui MED4IRN.
Rafizi berkata, melalui rangka kerja MED4IRN, kerajaan mengambil pendekatan bersepadu dalam membangunkan ekosistem ekonomi digital yang cergas melibatkan sektor awam dan swasta.
Menurut beliau, proses pemilihan ahli majlis dilaksanakan melalui panggilan terbuka dengan pakar dan profesional daripada pelbagai sektor mengemukakan pencalonan.
"Pelantikan dibuat hasil saringan ribuan pemohon yang menyahut jemputan Kementerian Ekonomi agar jawatankuasa kerajaan turut disertai oleh penggiat industri yang ada kepakaran di segenap peringkat.
“Majlis ini akan bertanggungjawab merangka dasar, berkongsi nasihat pakar dan membimbing pelaksanaan di semua peringkat pentadbiran dan sektor-sektor ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, kepentingan merangkul transformasi digital tidak boleh dipandang enteng.
“Pengamalan perubahan digital bukanlah lagi suatu pilihan; ia adalah suatu keperluan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, dan daya saing global.
"MED4IRN memainkan peranan menetapkan hala tuju strategik dan memberikan pemantauan yang diperlukan untuk menjadikan negara sebagai ekonomi berteraskan digital," ujarnya.
Senarai Ahli MED4IRN
Pengerusi: Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Sekretariat: Rafizi Ramli
Pengerusi Kluster:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang
Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali
Menteri dengan portfolio berkaitan:
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Sektor swasta, industri, akademik, kumpulan pemikir, pertubuhan
Ketua Teknologi, nanoSkunkWorkX Sdn Bhd, Profesor Madya Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim
Rangka Kongsi, Kembara Kapital, Mohd Ridzwan Nordin
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Inmagine Group, Warren Leow Jia En
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Agmo Group, Tan Aik Keong
Peneraju Perniagaan Perusahaan, eduCLaaS Sdn Bhd, Abu Bakar Ngah
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Data8 Sdn Bhd, Rajifah Ramli
Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Net Sdn Bhd, Chin Kah Yi
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, SOLS Foundation, Raj Ridvan Singh
Ketua Pegawai Eksekutif, OMIS Consulting Sdn Bhd, Lim Yee Mei
Ketua, Rantaian Nilai Global, Islamic Development Bank (IDB), Mohammed Faiz Shaul Hamid
Penasihat Bebas, Jasbir Singh S/O Maktiar Singh
Ex-Officio
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron
Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Datuk Rodzi Md Saad
Ahli Tangkas
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sdn Bhd, Syed Ibrahim Syed Noh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!