Remaja hilang di Sungai Lubuk Batu ditemui mati lemas
KUANTAN - Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mencari kepah di Sungai Lubuk Batu, Kota Bahagia, Rompin ditemui mati lemas pada Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat Mohd Iman Daniel Azri, 14, beralamat di Felda Keratong 4, Rompin ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 7 petang selepas timbul kira-kira lima meter dari lokasi dia dihanyutkan.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mohd Iman Daniel dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus kira-kira jam 5.30 petang pada Khamis.
Susulan kejadian operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan jam 7 petang pada hari kejadian.
Operasi disertai sepasukan pegawai dan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan dibantu penduduk kampung.
Operasi disambung pada Jumaat ditamatkan selepas mayat mangsa telah ditemui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!