Rapatkan jurang negeri kaya dan miskin
SHAH ALAM - Tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional berikutan data semasa menunjukkan jurang dengan lima negeri lain semakin melebar serta membimbangkan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kira-kira 49 peratus rakyat Malaysia tinggal di Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kedah dan Kelantan.
Menurutnya, pendapatan perlahan dan kekal rendah di sembilan negeri terbabit dan data pendapatan mengikuti tahun juga menunjukkan jurang yang semakin melebar.
“Jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022,” katanya menerusi TikTok pada Jumaat.
Mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan bulan lalu, pendapatan penengah isi rumah di Malaysia ketika ini adalah RM6,338, manakala purata pendapatan isi rumah pula adalah RM8,479.
Tambahnya, laporan Bank Dunia Aiming High mengunjurkan Malaysia berkemungkinan mencapai status berpendapatan tinggi antara 2024 sehingga 2028.
“Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan sekiranya momentum pertumbuhan dapat dikekal antara empat hingga lima peratus, tidak ada krisis ekonomi yang melanda serta penstrukturan ekonomi berjaya berkemungkinan kita boleh mencapai status ini lebih awal pada 2026," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan negara berpendapatan tinggi bagaimana yang hendak dicapai, Noor Azlan berkata, negeri-negeri dan wilayah yang utama jelas sekali terbahagi kepada dua.
“Satu kumpulan lokomotif ekonomi seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.
“Negeri ini menyumbang 62 peratus kepada ekonomi negara kita dan pendapatan serta pertumbuhan negeri-negeri ini lebih tinggi daripada tahap yang dicapai di peringkat negara,” katanya.
Tegasnya, jurang berkenaan perlu ditangani supaya ia lebih memberi erti negara mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.
“Sebab itu di dalam ucapan Ekonomi Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kualiti kehidupan rakyat mesti meningkat seluruhnya dan juga dasar pelaburan mesti mengambil kira faktor-faktor geografi.
“Di seluruh negara perlu ada pertumbuhan yang rancak, itulah negara berpendapatan tinggi yang ingin kita kecapi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!