Kelantan FC kena belasah 2-11 di Kota Bharu
HASRAT Kelantan FC mengejutkan Selangor FC menggunakan pemain muda tidak kesampaian apabila tewas 2-11 di gelanggang sendiri pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat.
The Red Warriors (TRW) pada mulanya mengejutkan The Red Giant menerusi sepakan penalti Natanael Siringo Ringo pada minit keenam.
Sepakan percuma Selangor juga berjaya dipatahkan pemain Kelantan pada minit kesembilan.
Penjaga gol tuan rumah turut menahan kemaraan Selangor di gawang gol pada minit kesepuluh
Kesilapan pertahanan Selangor Shahrul Nazeem Zulpakar pada minit ke 14 memberi peluang kedua kepada pemain TRW, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman menembusi gawang gol melalui hantaran Natanael Siringo Ringo pada minit ke -14.
Bagaimanapun, keceriaan Kelantan FC tidak lama apabila lambungan mudah pemain 16 tetamu, Yohandry Jose Orozzo Cujia memasuki gawang gol pada minit ke-29.
Tiga minit kemudian, Shahrul Nazeem menebus kesalahan melalui tendangan sudut pada minit ke -31 menyaksikan gol seri 2-2.
Selangor FC kemudian menambah jaringan melalui sepakan sudut penyerangnya, Ayron Del Valle Rooriguez pada minit ke-43.
Seminit kemudian Ayron sekali lagi menambah gol Selangor menjadikan empat gol keseluruhan pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor berkenduri gol apabila menembusi tujuh kali gawang gol tuan rumah.
Pertukaran pemain, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dengan Mohamad Faisal Abdul Halim memberi peluang kemenangan kepada Selangor FC.
Selangor menambah gol kelima dengan tendangan mudah pada minit ke-47 melalui Richmond Boakye-Yiadom.
Dua minit kemudian, Mohamad Faisal menjaringkan gol keenam The Red Giant.
Minit ke-52, Mohamad Faisal sekali lagi mengecewakan tuan rumah dengan jaringan ketujuh.
Sepuluh minit kemudian, Ayron mencatat hatrik dengan menambah gol kelapan Selangor FC.
Selangor terus berkenduri gol apabila Richmond Boakye-Yiadom menambah jaringan melalui tandukan mudah pada minit ke-78.
Hatrik Richmond Boakye-Yiadom pada minit ke-36 memberikan Selangor gol ke-10 dan tidak sampai seminit Ayron pula menambah gol ke-11 The Red Giant.
Keputusan akhir, Kelantan FC 2, Selangor FC 11.
Kekalahan besar itu yang ketiga TRW selepas tewas 0-8 kepada Terengganu (14 Ogos 2023) dan 0-10 menentang Johor Darul Ta'zim minggu lalu.
Sementara itu, dalam 1,002 penonton, Kelab Penyokong TRW, Gate H Boys membentuk formasi emoji sedih di tempat duduk penonton sambil menjerit 'Zam Bual'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!