Suami isteri buat laporan polis, dakwa anak cedera ditampar guru

Khairul menunjukkan gambar keadaan pipi anaknya yang bengkak selepas didakwa dipukul guru.
Khairul menunjukkan gambar keadaan pipi anaknya yang bengkak selepas didakwa dipukul guru.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang guru yang didakwa menampar anaknya di sebuah sekolah rendah di sini Rabu lalu.

Pasangan berkenaan mengambil keputusan itu selepas mengambil kira psikologi anak mereka yang trauma dan terpaksa dimasukkan ke wad.

Bapa mangsa yang dikenali dengan nama Khairul berkata, anaknya yang bersekolah di Tahun Dua di sekolah itu mengadu sakit di bahagian muka dan pening kepala sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Anak kami dimasukkan ke wad selama dua hari dan doktor memaklumkan mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga selain bengkak di kedua-dua pipinya," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Khairul mendakwa, kejadian berlaku apabila guru yang dipanggil ustaz itu mencari anaknya di kelas kira-kira jam 7.40 pagi sebelum menampar di muka beberapa kali sehingga terjatuh.

"Kami difahamkan tindakan ustaz itu ekoran aduan anaknya yang juga rakan sekelas anak kami bahawa mereka bergaduh sehari sebelum kejadian itu," katanya.

Tambah beliau, perbuatan guru itu turut disaksikan murid lain dan pekerja pembersihan sekolah.

Bagaimanapun katanya, guru berkenaan ada menghubunginya pada sebelah petang hari sama untuk meminta maaf tetapi selepas itu tidak lagi bertanya khabar.

"Saya juga bergegas bertemu pihak pengurusan sekolah kira-kira jam 1 tengah hari untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu.

"Kami kesal kerana tidak menerima maklumat mengenai perkara itu sedangkan kejadian berlaku pada awal pagi. Anak saya menjawab soalan peperiksaan dalam ketakutan dan menangis," katanya.

Pasangan itu turut membuat laporan polis di Balai Polis Melor kira-kira jam 2.40 petang bagi membolehkan perkara berkenaan disiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!