'Ini hanya permulaan' - Pochettino
RAHEEM Sterling menyerlah dengan dua jaringan dan Nicolas Jackson menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu ketika Chelsea menewaskan Luton 3-0 sekali gus memberikan Mauricio Pochettino kemenangan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengendali The Blues pada awal pagi Sabtu.
Sterling meneruskan permulaan mengagumkannya pada musim ini dengan dua jaringan tersebut masing-masing pada minit ke-17 dan ke-68 sebelum memberikan bantuan gol kepada Jackson pada minit ke-75.
Pochettino yang mengambil alih tugas selaku pengendali Chelsea pada Julai telah berjaya mengembalikan prestasi Sterling yang terancam susulan musim pertama yang hambar dengan Chelsea.
"Dari segi pemikiran, saya datang ke Chelsea pada masa yang sukar.
Perkara yang paling penting adalah saya muhasabah diri dan mahu kembali menumpukan sepenuhnya terhadap bola sepak, ia semudah itu.
"Pandangan anda mungkin agak kabur dan kadangkala anda memerlukan pandangan yang jelas.
Kecintaan saya terhadap bola sepak terlalu tinggi dan pada usia 28 tahun, saya tidak mahu gagal," kata Sterling.
Dalam pada itu, Pochettino menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan untuk lebih banyak keputusan postif dilakar para pemainnya.
"Kepercayaan dan keyakinan dalam kemenangan ini boleh kami gunakan untuk masa depan.
Saya lihat dalam sembilan atau 10 perlawanan terakhir Chelsea tidak menang jadi sebab itu penting hari ini untuk menang.
"Ia hanya permulaan dan kami perlu bekerja keras dalam cara kami mahu bermain tetapi komitmen pemain adalah hebat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!