UMNO Kelantan perlu lakukan rejuvenasi kepimpinan

 Prof Madya Dr Rusdi
Prof Madya Dr Rusdi
A
A
A

KOTA BHARU – Kepimpinan UMNO Kelantan di bawah kepimpinan Datuk Jazlan Yaakub boleh bergerak ke depan sekiranya mereka membuat rejuvenasi dalam kepimpinan di setiap bahagian.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, peluang perlu diberikan kepada generasi baharu dan memiliki ketua yang mempunyai integriti yang tinggi dan tidak terpalit dengan isu rasuah dan lain-lain.

Menurutnya, ketua-ketua bahagian yang kurang menonjol perlulah diganti dan diberi nafas baharu di mana mereka ini bolehlah dilantik sebagai penasihat bahagian nanti.

“Sekiranya kerjasama UMNO dan Pas benar-benar berlaku dan menjadi realiti di Kelantan, insya-ALLAH masa depan UMNO masih lagi cerah dan mereka boleh bersama membangun.

“Tetapi sekiranya kerjasama tidak menjadi kenyataan, maka UMNO perlu memikirkan semasak-masaknya untuk bersama PH. Kalau tidak saya tak nampak UMNO boleh ‘survive’ dalam politik hari ini.

“Sudah sampai masanya kepimpinan UMNO Kelantan sama ada di peringkat negeri atau bahagian perlu ada pelbagai latar belakang pemimpin, berilah peluang yang secukupnya untuk golongan profesional menyertai kepimpinan negeri dan bahagian supaya parti itu nampak gah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin UMNO yang kalah sebaiknya mengundur diri dan perlu perubahan dalam kepimpinan tersebut.

Beliau berkata, peluang untuk menang dalam PRU15 berada dalam kepimpinan yang ada hari ini dan Jazlan diyakini mempunyai aura untuk memimpin UMNO Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Namun pemimpin-pemimpin lain kena membantu beliau. Itu sebabnya golongan profesional perlu diberi peluang dan diketengahkan dalam kepimpinan UMNO Kelantan.

“UMNO Kelantan kena 'move forward' dan carilah pemimpin-pemimpin baharu yang betul-betul berjiwa besar dan mempunyai integriti tinggi. Ini bukan bermaksud ketua bahagian yang ada hari ini tak bagus tapi bagilah peluang kepada pemimpin-pemimpin yang baharu.

“Kalau sudah dua atau tiga kali kalah dalam PRU itu cukuplah, itu menunjukkan signal yang rakyat menolak mereka. Mereka (pemimpin lama) perlu berjiwa besar untuk bagi laluan pada muka baharu.

“Itulah masalah besar dalam kepimpinan di Kelantan di mana mereka masih kemaruk nak jawatan lagi walaupun banyak kali kalah. UMNO kena berubah kalau nak ‘survive’ dan tidak berkubur nanti,” katanya.

Rusdi berkata, rakyat Kelantan ini sangat bijak dalam berpolitik dan mereka memilih pemimpin berdasarkan kebolehan dan kebijaksanaan yang ada dalam diri pemimpin tersebut.

“Pemimpin berjiwa rakyat dan cakna biasanya akan dipilih nanti. UMNO Kelantan tidak boleh bersendirian dalam politik hari ini dan mereka perlu pilih sama ada bersama Pas atau PH,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!