Tiga hari hasilkan 'belede' Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU - Usahawan makanan dari Kampung Banggol Pauh, Bukit Tok Beng di Kuala Nerus mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan agar-agar Jalur Gemilang untuk dipamerkan sempena FamaFest Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre (KTCC Mall) pada Sabtu.
Pengasas produk Quzni, Mazni Abdul Rahman berkata, gubahan bendera dari kuih yang juga digelar 'belede' dalam kalangan masyarakat Terengganu itu bersaiz 2.4 meter panjang dan 1.2 meter lebar.
Katanya, ia dihasilkan menggunakan 3.5 kilogram (kg) bahan asas utama iaitu agar-agar.
"Selain agar-agar, kita juga gunakan 40 kg gula bagi memastikan gubahan ini boleh bertahan dan bentuknya tidak mudah rosak.
"Di samping itu, kita turut hiaskan gubahan ini dengan buah naga dan buah rambutan.
Buah naga diletakkan bagi bancuhan agar-agar warna merah manakala buah rambutan untuk bancuhan warna putih dan jagung untuk bancuhan bulan dan bintang yang berwarna kuning," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut Mazni, seramai 12 kakitangan bertungkus-lumus menyiapkan agar-agar bagi memastikan ia dapat dipamerkan sempena majlis perasmian festival tersebut yang berlangsung bermula 25 hingga 29 Ogos ini.
"Kita ambil masa selama tiga hari bermula dari hari membeli bahan, memasak sehinggalah kepada gubahan Jalur Gemilang.
Semuanya perlu dilakukan dengan teliti supaya dapat hasil yang cantik.
"Selain untuk dipamerkan, kuih belede ini juga boleh dimakan," ujarnya.
Sementara itu, ditanya antara cabaran yang perlu dilalui bagi menghasilkan gubahan tesebut, Mazni memberitahu, ia melibatkan bahagian paling sukar untuk disiapkan iaitu bulan dan bintang.
"Bahagian paling sukar nak dihasilkan adalah bulan dan bintang kerana kita tiada acuan khas, jadi kita kena gunakan kreativiti untuk bentukkan bulan dan bintang ini.
"Apapun saya berpuas hati kerana dapat siapkan agar-agar ini dengan kerjasama pasukan saya,"ujarnya.
Mazni berkata, gubahan itu kali kedua dihasilkan selepas menyiapkan gubahan Jalur Gemilang menggunakan 400 kuih pau landak beberapa hari lepas.
Katanya, kuih itu dimasak selama tujuh jam itu sebelum mengambil masa 30 minit lagi untuk disusun dan digubah menjadi bendera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!