Lebih 2,000 pengunjung meriahkan Karnival Kayuhan Merdeka Polis Selangor
MUHAMMAD AMINURALIF MOHD ZOKI
SHAH ALAM - Deretan kereta dan motosikal klasik antara tarikan utama sekali gus menarik lebih 2,000 pengunjung di Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor (Merdeka Ride) di perkarangan Stadium Shah Alam pada Sabtu.
Karnival yang julung kalinya dianjurkan Polis Selangor ini turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan merasmikan karnival ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Merdeka Ride kali ini menyaksikan penyertaan ribuan masyarakat dalam acara kayuhan yang diadakan bermula jam 7.30 pagi.
"Karnival ini mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dari penduduk di Shah Alam malahan difahamkan ada juga yang datang daripada daerah-daerah lain di negeri ini.
"Acara yang paling mendapat sambutan adalah acara kayuhan yang mana dibuka kepada dua kategori iaitu kategori VIP dan kategori awam melibatkan jarak 10 kilometer dan 30 kilometer," katanya ketika ditemui dalam Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor (Merdeka Ride) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di perkarangan Stadium Shah Alam pada Sabtu.
Selain itu, beliau berkata, kaunter pembayaran saman turut sama menjadi tumpuan oleh masyarakat sejak awal pagi.
"Dianggarkan ribuan pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang mendapatkan diskaun saman 50 peratus.
"Menariknya, bukan sahaja melibatkan saman polis di Selangor malahan saman melibatkan negeri lain, boleh membayarnya di sini," katanya.
Menurutnya, matlamat dan objektif program turut bertujuan mempromosikan slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada" selain mengeratkan perhubungan antara pelbagai kaum.
"Penganjuran Merdeka Ride ini turut memberi peluang kepada peniaga terutamanya golongan belia untuk meningkatkan ekonomi melalui karnival yang diadakan.
"Selain itu dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan secara langsung menggalakkan gaya hidup sihat sambil mempromosikan tempat-tempat ikonik di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!