Umat Islam dinasihat tidak sertai Konsert Viral Lagu TikTok - Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Umat Islam dinasihatkan supaya tidak menghadiri Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang akan diadakan di Batu Kawan pada 30 September nanti.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, adalah kurang sesuai bagi umat Islam untuk menghadiri konsert berkenaan kerana tarikhnya terlalu hampir dengan sambutan Maulidur Rasul.

"Saya menasihati umat Islam supaya tidak menghadiri konsert berkenaan. Tidak lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan meraikan bulan Maulidur Rasul.

"Agak kurang sesuai bagi umat Islam terlibat dengan aktiviti sebegini, seolah-olah tidak menghormati nabi kita," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambah beliau, agama Islam tidak melarang umatnya berhibur dalam batas-batas yang munasabah.

"Walaupun Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur, tetapi janganlah terlalu leka sehingga tidak mengambil kira apa yang wajar diutamakan.

"Dalam bulan Rabiulawal, umat Islam disarankan agar memberi tumpuan yang lebih kepada usaha-usaha menambahkan lagi pengetahuan serta kefahaman mereka tentang sirah nabi untuk dijadikan suri teladan di dalam kehidupan sama ada yang berkaitan dengan hal ehwal agama mahu pun kehidupan harian," tambahnya.

Pada Selasa lalu, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis antaranya Baby Shima serta beberapa artis Indonesia.

Bagaimanapun, dalam poster terbabit tidak dinyatakan mengenai kadar caj tiket yang dikenakan selain tiada maklumat lengkap pihak penganjur yang mengendalikan acara terbabit.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebook peribadinya menyatakan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Susulan daripada itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk membatalkan kelulusan penganjuran konsert yang dikatakan akan dianjurkan di Dewan Millenium, Kepala Batas.

Mohammad berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kegusaran orang ramai mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam berharap konsert itu dibatalkan, namun difahamkan pihak penganjur memohon untuk memindahkan lokasi konsert itu ke kawasan Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penganjur mohon pindah lokasi konsert

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!