Alunan al-Quran bergema atas bahtera
LUMUT - [DIKEMAS KINI] Alunan bacaan Surah Al-Insan bergema di atas Kapal Diraja (KD) Teguh Samudera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Pangkalan TLDM di sini pada Sabtu.
Alunan tersebut dibacakan oleh 50 peserta terdiri daripada ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh dan anggota TLDM.
Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program kali ini membawa kelainan berbanding penganjuran terdahulu yang diadakan di premis seperti pusat Rumah Ngaji, masjid atau surau.
Menurutnya, idea penganjuran di atas kapal ini bertujuan untuk mempelbagaikan lagi khalayak program Malaysia #QuranHour.
"Hikmah penganjuran program ini sebenarnya memperlihatkan bahawa al-Quran ini boleh dibaca, difahami dan diamalkan di mana-mana apatah lagi menjadi teman buat anggota pertahanan ketika bertugas menjaga kedaulatan negara.
"Tidak semestinya kita mengaji di rumah atau di masjid tetapi sebaliknya kita boleh mengalunkan bacaan al-Quran ini di atas kapal yang sedang belayar," katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia #QuranHour di atas KD Teguh Samudera di Pangkalan TLDM di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada program tersebut, Pegawai Memerintah KD Teguh Samudera, Komander Mohd Khairul Jamal TLDM dan Jurulatih Kanan Sekolah Pendidikan Islam KD Pelandok, Mejar Mohd Sabri Mohamad.
Maziah berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Anuar Mohamed yang menyokong penuh program tersebut selain Koperasi Tentera turut terlibat menjayakannya.
Sementara itu, beliau menjelaskan Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh akan mengadakan beberapa lagi program khususnya melibatkan anak muda mendekati al-Quran.
Katanya, program-program Rumah Ngaji sentiasa terbuka untuk pelbagai peringkat usia dan bukan hanya golongan tertentu sahaja.
Beliau turut berharap agar program bersama TLDM tidak terhenti setakat Malaysia #QuranHour sebaliknya ia akan diteruskan untuk program-program lain pada masa akan datang.
Penganjuran Malaysia #QuranHour oleh Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh diadakan lebih awal daripada tarikh ditetapkan bertujuan menyemarakkan lagi program tersebut yang akan berlangsung secara serentak pada 30 Ogos ini.
Selain itu, program itu juga memeriahkan Pesta Merdeka Lumut 2023 anjuran TLDM yang sedang berlangsung sehingga Ahad.
Program Malaysia #QuranHour diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.
Lokasi perdana bagi Malaysia #QuranHour akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos selain ia turut dilaksanakan di beberapa lokasi utama di seluruh negara.
Di Perak, Politeknik Ungku Omar di Ipoh akan menjadi lokasi utama bagi penganjurannya dengan penyertaan dijangka seramai 800 orang.
Bacaan al-Quran rutin harian sepanjang pelayaran
Dalam pada itu, bacaan al-Quran menjadi rutin harian buat seluruh pegawai dan anggota di dalam KD Teguh Samudera ketika belayar menjaga perairan negara.
Mohd Khairul Jamal berkata, setiap hari selepas solat Zuhur dan Isyak mereka akan membaca al-Quran.
Menurutnya, program penerapan al-Quran itu sudah diterapkan sejak awal lagi kepada rekrut yang memasuki perkhidmatan TLDM.
"Program Malaysia #QuranHour ini merupakan julung kali diadakan di atas kapal dan saya amat berbesar hati kerana KD Teguh Samudera ini terpilih untuk bersama-sama dengan Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh menjayakannya.
"Kita akan meneruskan kesinambungan program ini di mana saya bersama pegawai agama kapal akan mengenal pasti anggota-anggota saya sukar untuk membaca al-Quran untuk diajar mengaji," katanya.
Sementara itu, Mohd Khairul Jamal berkata, program-program kerohanian seperti itu perlu dilaksanakan selain aktiviti fizikal yang sentiasa dilakukan anggota.
"Program-program rohani sebegini memang perlu sebab untuk menjadi anggota tentera, dalaman kita ini perlu bersih.
"Panduan yang diperoleh menerusi al-Quran boleh membawa kita melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan ini dengan lebih sempurna," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Jamal turut mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar anggota keselamatan khususnya TLDM diberikan kekuatan serta kecekalan menjaga perairan negara dipelihara dan dipermudahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!