Penantian 19 tahun berakhir kegembiraan
POKOK SENA - Penantian 19 tahun seorang bapa untuk melihat anak sulungnya diperakui sebagai warganegara Malaysia berakhir dengan berita gembira apabila menerima surat kelulusan permohonan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sabtu.
Penoreh getah berketurunan Siam, Sayan Prak Sat, 46, berkata, dia mengalirkan air mata kegembiraan apabila menerima panggilan menyatakan anak lelakinya, Khatanak, 19, akan menerima surat kelulusan itu.
Sayan berkata, kelulusan permohonan terbabit amat bermakna, malah disifatkan hadiah terbesar yang diterima mereka sekeluarga menjelang hari kebangsaan.
"Menjelang ketibaan 31 Ogos, saya rasakan ini merupakan hadiah terbesar buat kami sekeluarga. Kami dah menunggu terlalu lama dan kelulusan ini memberi makna amat besar buat kami sekeluarga.
"Kami telah mengemukakan permohonan beberapa kali sejak Khatanak berusia tiga bulan lagi dan baharu kali ini ia diluluskan," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menemani anaknya menerima surat kelulusan daripada Saifuddin selepas Menteri Dalam Negeri itu selesai menyerahkan sumbangan untuk pembelian van jenazah kepada Masjid Ar Raudhah Sungai Durian, Pokok Sena pada Sabtu.
Menurut Sayan, anak sulungnya itu tidak berpeluang mendapat pekerjaan lebih baik, malah perlu membayar kos perubatan tinggi apabila ingin mendapatkan rawatan disebabkan tidak memiliki kad pengenalan.
"Sekarang, Khatanak hanya buat kerja kampung, namun dengan adanya dokumen pengenalan diri maka dia boleh kerja lebih bagus selepas ini,"katanya.
Sayan memberitahu, Khatanak kini bukan hanya boleh mengambil lesen memandu, malah berpeluang mendapatkan rawatan pada kos sama seperti warganegara yang lain.
Sehubungan itu, Sayan memaklumkan, dia berterima kasih kepada semua pihak termasuklah Saifuddin dan kerajaan yang prihatin dan membantu menyelesaikan isu dialami anak sulungnya itu.
Dia turut berharap ibu bapa berdepan nasib sama juga akan mendapat perhatian seperti mereka sekeluarga.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang remaja lelaki berketurunan Siam dari Kampung Lubok Sengkuang, Changlun di sini terpaksa melalui kesukaran hidup tanpa kad pengenalan diri dan hanya mampu bersekolah sehingga Tahun Enam sahaja.
Khathanak Sayan, 19 berkata, disebabkan masalah itu juga dia tidak berpeluang mendapat pekerjaan yang lebih bagus seperti rakan-rakan lain.
Masalah itu dipercayai berlaku disebabkan kekhilafan Sayan dan isterinya yang merupakan warganegara Thailand, Sawitree Darasawang ketika baru berkahwin apabila lambat mendaftar perkahwinan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!