Faisal Halim perlu ambil masa
TONGGAK sensasi Selangor FC, Faisal Halim belum berada di prestasi terbaik biarpun membantu The Red Giants mengatasi Kelantan FC 11-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Itu rumusan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe ketika ditanya mengenai tonggak Harimau Malaya berkenaan yang kembali memperkuatkan pasukan tangga kedua tersebut selepas menjalani penggantungan selama sebulan sebelum ini.
"Saya rasa Faisal Halim belum berada pada prestasi sebenarnya selepas sebulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitifnya.
"Biarpun bukan mudah berdepan situasi begini, namun Faisal Halim telah menunjukkan satu sikap yang positif apabila setiap hari turun berlatih bersama pasukan.
"Dia turun berlatih dengan niat yang baik untuk mengembalikan prestasi pada tahap terbaik, ya saya akui apabila rehat satu bulan tanpa perlawanan kompetitif bukan mudah untuk seseorang pemain mendapat keyakinan serta kembali ke prestasi terbaik dalam perlawanan malam ini," katanya selepas perlawanan di Kota Bharu pada Jumaat.
Faisal dalam perlawanan itu tidak ditampilkan dalam kesebelasan utama namun berjaya membuktikan sentuhan penyudahnya apabila meledak dua gol.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengenakan penggantungan selama sebulan terhadap Faisal susulan kenyataan yang dikeluarkan bekas tonggak Terengganu FC itu ketika temu ramah media selepas aksi Liga Super, Selangor menentang Sabah FC di Stadium Likas, tiga bulan lalu.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi satu kenyataan berkata, Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya pada 27 April tersebut.
Perkembangan terbaharu pengendali skuad bola sepak negara, Kim Pan-gon menyenaraikan Faisal dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa bertemu Syria dan China pada 6 dan 9 September di Chengdu, China.
Di Kota Bharu, selain Faisal meledakkan dua gol pada minit minit ke-50 dan minit 53, gol Selangor juga dijanakan Yohandry Jose Oronzo Cujia pada minit ke-28, Sharul Nazeem Zulpakar (m-32), Ayron Del Valle Rodriguez (m-41, m-44, m-63, m-87), dan Richmond Boakye (m-48, m-78, m-86).
Sementara itu, gol Kelantan dijaringkan Natanael Siringo Ringo menerusi sepakan penalti pada minit kelima diikuti gol Mohamad Fazrul Amir (m-14).
Cheng Hoe tak sangka Selangor 11 gol
Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menyangka The Red Giants melakar kemenangan besar 11-2 pada Liga Super, Kelantan FC dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, kemenangan besar itu merupakan kesungguhan dan kerjasama pemain Selangor yang mahu mengekalkan momentum kemenangan perlawanan sebelum ini.
"Kemenangan ini juga merupakan komitmen berterusan bagi memastikan pasukan berada di kedudukan kedua terbaik Liga Super," katanya selepas perlawanan di Kota Bharu itu.
Kemenangan bergaya Selangor 11-2 ke atas Kelantan juga merupakan satu rekod baharu bagi saingan Liga Super musim ini.
Mata ke-49 liga itu menyaksikan The Red Giants meneruskan momentum positif dua kemenangan terakhir ketika mengalahkan Kuala Lumpur City FC (2-0) dan Negeri Sembilan FC (4-0) sebelum ini.
Dalam masa sama Cheng Hoe mengakui cabaran masih menanti The Red Giants biarpun berjaya menjarakkan diri daripada Kedah Darul Aman pasukan di kedudukan ketiga liga.
"Kita masih ada empat lagi perlawanan berintensiti tinggi yang perlu diharungi dengan dua daripadanya merupakan perlawanan away game menentang Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.
"Selain itu kita juga memberikan tumpuan kepada saingan Piala Malaysia yang memasuki peringkat lapan terbaik
"Selepas aksi menentang Kelantan malam ini kita akan ada 'international break' yang akan dimanfaatkan untuk memperbaiki segala kelemahan supaya lebih bersiap sedia," katanya.
Sebagai rekod, selain berkunjung ke laman Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC, anak buah Cheng Hoe juga dijangka berdepan dua pasukan penuh kejutan di pusingan kedua iaitu Perak FC dan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Mengenai dua gol awal Kelantan, Cheng Hoe berkata, faktor keadaan padang menyebabkan pemain Selangor hilang fokus, namun itu bulan satu alasan kerana pemain perlu bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan apabila beraksi di laman lawan.
Cheng Hoe juga gembira apabila pemain kembali fokus selepas dua jaringan awal Kelantan itu dengan menyamakan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan itu.
"Paling penting dalam perlawanan ini adalah mentaliti setiap pemain yang mahu perlawanan malam ini (Jumaat) diakhiri dengan kemenangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!