Pengalaman hebat kem cuti sekolah di Hospital Pantai

75 kanak-kanak dari seluruh Kedah termasuk Pulau Pinang menyertai Kem Cuti Sekolah di Hospital Pantai Sungai Petani pada Jumaat dan Sabtu.
75 kanak-kanak dari seluruh Kedah termasuk Pulau Pinang menyertai Kem Cuti Sekolah di Hospital Pantai Sungai Petani pada Jumaat dan Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 75 kanak-kanak dari Kedah dan Pulau Pinang mendapat pengalaman berguna apabila menyertai Kem Cuti Sekolah di Hospital Pantai Sungai Petani dekat sini yang diadakan selama dua hari dan satu malam.

Pakar Bedah Am Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Bernard Chan berkata, penyertaan yang diterima untuk menyertai kem tersebut sangat mengalakkan, namun pihaknya perlu mengehadkan jumlah peserta atas faktor fasiliti dan keselamatan.

Menurutnya, kem berkenaan juga buat pertama kali diadakan pelbagai aktiviti secara 'outdoor' termasuk tidur di dalam khemah di tempat yang telah disediakan.

"Kem ini juga bertujuan untuk mengimbangi pembangunan sosial remaja masa kini, yang lebih cenderung kepada gajet berkaitan teknologi yang membimbangkan ibu bapa.

"Oleh itu, kami akan mengadakan perkongsian khas mengenai kesan alat moden terhadap kesihatan kanak-kanak oleh pakar pediatrik kami nanti," katanya pada hari pertama kem cuti sekolah di Hospital Pantai Sungai Petani pada Jumaat.

Dr Bernard berkata, kem tersebut memberi tumpuan kepada pengalaman hebat dan pengetahuan baharu kepada peserta tentang cara untuk menjadi lebih berdikari, mewujudkan kepimpinan dan meningkatkan rasa yakin diri di kalangan rakan baharu.

Jelasnya, antara aktiviti yang disediakan adalah kemahiran sosial, aktiviti luar, perkhemahan, latihan dalam kumpulan, penerangan tentang penjagaan kesihatan dan banyak lagi.

Latihan dalam kumpulan antara aktiviti yang disediakan di Kem Cuti Sekolah di Hospital Pantai Sungai Petani.
Latihan dalam kumpulan antara aktiviti yang disediakan di Kem Cuti Sekolah di Hospital Pantai Sungai Petani.

"Saya memuji semua ibu bapa yang berada di sini kerana mahukan pendedahan awal seperti kem sekolah ini diberikan kepada anak-anak mereka.

"Saya berharap akan ada banyak manfaat yang diperoleh pada hari ini dan esok. Pihak hospital ini sudah tentu juga akan mengadakan lebih banyak lagi program pendidikan seperti ini dalam masa terdekat yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada kanak-kanak tetapi semua individu di semua peringkat," ujar beliau.

Tambahnya, sebagai sebuah hospital, pihaknya juga mahu mengambil berat bukan sahaja untuk pesakit mereka tetapi untuk masyarakat dan orang ramai yang berada di sekelingnya.

Seorang peserta, Muhammad Fahim Al-Fateh,12, mengakui gembira dengan pengalaman yang ditimba kerana kem ini penuh dengan aktiviti menarik, dapat kenal rakan-rakan baru dari pelbagai sekolah selain mengisi masa cuti sekolah tanpa telefon selama dua hari.

"Gembira kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai program kem cuti sekolah anjuran Hospital Pantai Sungai Petani ini. Saya harap boleh panjangkan tempoh aktiviti untuk program akan datang," ujarnya dari Kuala Ketil, Baling.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!