Barbie atasi Super Mario sebagai filem terlaris di AS tahun ini
KERJASAMA antara pengarah Greta Gerwig, Mattel dan Warner Bros Discovery menerusi filem Barbie mengumpul AS$575.4 juta di box office (kutipan panggung) Amerika Syarikat, sekali gus menjadikannya filem dengan kutipan tertinggi di Amerika Utara tahun ini.
Barbie mengatasi filem The Super Mario Bros. Movie, yang sebelum ini memegang takhta itu dengan kutipan AS$574 juta.
Barbie juga semakin hampir untuk meraih mahkota bagi penerbitan global dengan kutipan tertinggi tahun ini. Ia setakat ini telah mencatatkan AS$1.3 bilion di seluruh dunia, menghampiri kutipan $1.35 bilion oleh Super Mario.
Hanya dua filem itu yang berjaya melepasi kutipan AS$1 bilion tahun ini.
Selain itu, Barbie setakat ini merupakan filem dengan kutipan pembukaan tertinggi untuk filem arahan pengarah wanita dan kini merupakan filem dengan kutipan tertinggi yang diarahkan oleh pengarah wanita.
Ia juga mengekalkan tempat teratas di box office selama empat minggu berturut-turut dan dijangka terus mendahului jualan tiket sepanjang musim panas dan musim luruh.
Tidak banyak filem yang akan ditayangkan di pawagam pada minggu-minggu akan datang, yang dilihat pengkritik akan membolehkan Barbie terus mengumpul jualan tiket tinggi tanpa persaingan hebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!