Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan, musnahkan ekosistem rasuah

(Dari kiri) Fernando Casal Bertoa, Pushpan Murugiah, Maha Balakrishnan dan Andrew Khoo pada Kuliah Umum Siri Keempat bertajuk "Undang-undang pembiayaan politik rasuah: Masalah institusi di Wisma Badan Peguam Malaysia pada Sabtu
(Dari kiri) Fernando Casal Bertoa, Pushpan Murugiah, Maha Balakrishnan dan Andrew Khoo pada Kuliah Umum Siri Keempat bertajuk "Undang-undang pembiayaan politik rasuah: Masalah institusi di Wisma Badan Peguam Malaysia pada Sabtu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Pendanaan Politik perlu segera dilaksanakan bagi memusnahkan ekosistem rasuah dan salah guna kuasa.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Centre), Pushpan Murugiah berkata, akta tersebut penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih itu berdasarkan kualiti kerja atau merit dan bukan semata-mata memberikan wang untuk meraih undi.

“Dana politik ini menjadi punca utama proses demokrasi tidak berjalan dengan baik kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan rasuah dan kronisme apabila mereka menggunakan sumber itu untuk berkempen pada pilihan raya.

“Oleh itu ramai pengundi memilih calon berdasarkan parti politik dan ia memang tidak adil kepada calon lain yang tidak dipilih sedangkan mereka mempunyai pelbagai polisi pembangunan yang baik terhadap negara,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika Kuliah Umum Siri Keempat bertajuk "Undang-undang pembiayaan politik rasuah: Masalah institusi" di Auditorium Raja Aziz Addruse, Wisma Badan Peguam Malaysia bersama moderator Andrew Khoo pada Sabtu.

Dalam pada itu, pensyarah kanan Universiti Nottingham, Dr Fernando Casal Bertoa pula berkata, dengan pelaksanaan akta tersebut ia mampu meletakkan Malaysia di kedudukan yang baik dalam Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Ujarnya, kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut bukan sahaja menyumbang kepada aktiviti rasuah, sebaliknya menjadi norma biasa bagi meraih sokongan rakyat.

“Kerajaan perlu bertindak segera bagi memastikan gejala rasuah yang melibatkan parti politik dihentikan.

“Berdasarkan skor CPI pada tahun 2022 menunjukkan aktiviti rasuah di negara ini semakin meningkat,” jelasnya.

Sementara itu, pakar Parlimen, Maha Balakrishnan berkata, peranan jawatankuasa Parlimen penting bagi memastikan institusi pentadbiran negara tidak didominasi oleh badan eksekutif sahaja.

Menurutnya, dengan pemerkasaan jawatankuasa tersebut ia lebih adil dalam memastikan kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari seimbang.

“Jawatankuasa ini penting bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan baik tanpa ada mana-mana pengaruh politik.

“Perkara ini memang sukar dibuat tetapi ia penting bagi memastikan proses demokrasi itu berjalan sempurna,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!