Penerangan modul hadis 40 patut lebih awal elak kekeliruan - MCA

Ka Siong bersama ahli MCA Perhimpunan Agung Tahunan MCA Perak 2023 di Ipoh pada Sabtu.
Ka Siong bersama ahli MCA Perhimpunan Agung Tahunan MCA Perak 2023 di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan perlu memberi penerangan jelas mengenai kaedah pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara lebih awal bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada masyarakat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebarang perubahan atau pembaharuan dalam silibus pelajaran perlu diterangkan lebih jelas agar mudah diterima oleh semua pihak.

"Kalau ada perubahan dalam komponen mata pelajaran, peringkat pegawai seperti pengarah sudah boleh cerita (terangkan) tetapi apabila buat satu kenyataan yang tergantung, ia akan memberi pelbagai reaksi.

"Kalau dapat diperhalusi dan menerangkan dengan jelas saya rasa tidak timbul salah faham sebegini. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kementerian Pendidikan ada menjelaskan perkara ini semalam (Jumaat).

"Bagi saya ia patut diterangkan sebelum itu kerana ramai terutama masyarakat bukan Islam tidak faham," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Perak 2023 di Wisma Bulan Sabit Merah di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak pelaksanaan modul berkenaan yang melibatkan guru dan murid beragama Islam itu.

"Apa yang menjadi reaksi daripada masyarakat adalah perkataan digunakan sebelum ini ialah projek rintis kemudian diperluaskan yang membawa maksud berlainan. Kalau tidak dihuraikan dan berhenti disitu, orang akan tertanya maksudnya.

"Dalam masyarakat majmuk, penggunaan perkataan itu perlu diterangkan supaya orang ramai dapat tanggapan yang jelas, begitu juga dengan sebarang perubahan atau kandungan dalam subjek," katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Polemik tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

Anwar menjelaskan bahawa tiada paksaan kepada bukan Islam sebaliknya perlu memahami kepentingan pelaksanaan modul yang dikaitkan dengan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

ARTIKEL BERKAITAN:

Modul Hadis 40 Imam Nawawi: Tiada paksaan kepada bukan Islam - PM

61 SMKA, 228 SABK terlibat Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi - KPM

MUIS sokong pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pelihara keharmonian masyarakat

KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar

MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi - Ulamak Pas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!