India kuat kuasa duti eksport 20 peratus beras rebus
NEW DELHI - Kerajaan persekutuan India pada Jumaat menetapkan duti 20 peratus ke atas eksport beras rebus (parboil) berkuat kuasa serta merta, lapor Xinhua.
Arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan itu bertujuan untuk menyemak kenaikan harga serta memastikan bekalan dalam negara mencukupi.
Mengikut pemberitahuan berkenaan, duti eksport itu berkuat kuasa serta-merta dan kekal terpakai sehingga 16 Oktober 2023.
Susulan sekatan baharu ini, India telah menetapkan sekatan ke atas semua jenis beras bukan basmati, yang menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah eksport beras India.
Pengenaan duti sebanyak 20 peratus ke atas eksport varieti rebus itu berkemungkinan akan melonjakkan lagi harga di peringkat global.
Bulan lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa menggalakkan India supaya menghapuskan sekatan ke atas eksport kategori beras tertentu kerana tindakan itu akan memberi kesan kepada inflasi global dan memburukkan lagi turun naik harga makanan di seluruh dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!