Dua remaja maut kereta hilang kawalan langgar pokok
JOHOR BAHRU - Dua remaja maut selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Jalan Tun Abdul Razak, Taman Suria Muafakat dekat sini pada Sabtu.
Mangsa, Lee Chee Yong dan Seow Zong Ho, masing-masing berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 2 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Firdaus Abdullah berkata, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dihantar ke lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan Honda City dinaiki dua remaja lelaki itu dipercayai terbabas. Seorang mangsa ditemukan tersepit dalam kereta manakala seorang lagi tercampak ke pembahagi jalan. Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian kedua-dua remaja terbabit dipercayai datang dari arah Skudai menghala ke pusat bandar.
"Kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing dan terbalik. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam satu kes lain, Raub berkata, seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan di susur empat Jalan Tun Abdul Razak dekat sini.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dari arah pusat bandar ke Skudai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di bawah kereta Volvo yang diparkir di sebelah kanan jalan tanpa pemandu.
"Mangsa yang berusia 40-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang hadir," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!