'Bukan video sambutan Sanusi di Johor' - Polis

Kamarul Zaman. Tangkap video tular di TikTok.
Kamarul Zaman. Tangkap video tular di TikTok.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menafikan berlakunya sambutan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Johor, seperti yang tular dalam video di TikTok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, video itu dikesan pada Sabtu dan semakan mendapati video tular tersebut adalah berkaitan program 'KL Munajat' bersama Tuan Guru Abdul Somad, Sheikh Aleey Qodir At-thohiri dan Nur Ahli Badar bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 15 Julai lalu.

"Video tersebut telah disunting dengan memasukkan laungan sorakan ‘Luaskan Kuasamu Johor’ untuk perkongsian oleh pengguna media sosial lain," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu tular video berdurasi dua minit dan enam saat beserta kapsyen 'Gelombang MB Sanusi bila turun ke Johor, bangkitlah sahabat-sahabat di Johor'.

Kamarul Zaman memberitahu, polis sudah membuka kertas siasatan dan usaha bagi mengesan individu-individu yang bertanggungjawab sedang dilakukan.

"Video tular ini dilihat berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat dan perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang- undang.

"Mereka boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukan denda atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," ujarnya.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan berkongsi maklumat tersebut sehingga boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!