Pameran lembu sado, Meow Fiesta tarikan sambutan Hari Veterinar
Program yang berlangsung di Laman Ternakan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu bermula sejak Khamis lalu dan akan berakhir pada Ahad.
DVS menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk jualan produk berasaskan ternakan dan Klinik Veterinar.
"Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Veterinar pada tahun ini iaitu 'Menggalakkan Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman dalam Profesion Veterinar' yang menumpukan kepada pengiktirafan usaha dan sumbangan veterinawan ke arah meningkatkan kesejahteraan profesion veterinar melalui kepelbagaian aktitviti bidang veterinar yang semakin mencabar.
"Selain itu (ia turut menonjolkan tugas veterinawan) mengawal penyakit zoonotik dan rentas sempadan meliputi keselamatan haiwan," katanya.
DVS menjelaskan, sambutan Hari Kebajikan Haiwan pula diadakan bertujuan memberi kesedaran awam kepada masyarakat di Malaysia berhubung tanggungjawab, ihsan, kasih sayang dan keprihatinan kepada haiwan.
Dalam hal berkaitan keselamatan makanan berasaskan ternakan pula, DVS memberitahu, pihaknya bertanggungjawab menilai tahap keselamatan makanan terutama yang diimport agar bebas dari penyakit dan selamat dimakan.
"DVS mengambil maklum mengenai isu penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) oleh pihak berkuasa Indonesia pada lembu yang dimport oleh negara itu dari Australia.
"Untuk memastikan sektor ternakan dalam negara terjamin bebas daripada sebarang risiko penyakit ini, DVS sentiasa memastikan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut protokol dan tatacara yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia," tambahnya.
Menurut DVS, tindakan penggantungan bersifat sementara juga telah diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dakwaan pihak berkuasa Indonesia itu benar, memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari Australia.
Katanya, namun begitu, pengimportan daging lembu dari Australia masih dibenarkan.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan DVS akan terus mengadakan libat urus bersama pemain industri yang berperanan penting dalam rantaian pengeluaran bekalan makanan berasaskan ternakan agar kekal terjamin dan memastikan kejadian penyakit haiwan ternakan dalam negara terkawal," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!