'Usah jadi hero dalam isu hadis 40' - Ahmad Fadhli
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyelar tindakan segelintir pihak yang membantah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang kini menjadi kontroversi.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas itu berkata, pelaksanaan inisiatif itu dibenarkan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996.
Katanya, seksyen berkenaan menyebut bahawa murid-murid hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri jika di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima murid atau lebih yang menganut agama Islam.
"Justeru, tiada sebab untuk membantah inisiatif KPM untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di 289 buah sekolah-sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid yang beragama Islam.
"Pihak membantah sama ada dari parti mana sekalipun, dari NGO mana sekalipun, perlu sedar realiti dalam akta pendidikan tersebut. Tak usahlah menjadi hero pula dalam isu ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.
Kontroversi berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu mula timbul apabila segelintir pihak menyuarakan bantahan selepas KPM pada 19 Ogos lalu memaklumkan akan melaksanakan inisiatif berkenaan pada 19 Ogos lalu.
KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan modul tersebut untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang.
Katanya, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam dan akan dilaksana secara rintis membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN:
Modul Hadis 40 Imam Nawawi: Tiada paksaan kepada bukan Islam - PM
61 SMKA, 228 SABK terlibat Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi - KPM
MUIS sokong pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pelihara keharmonian masyarakat
KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
Modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!