Detik hitam Kelantan FC
SKUAD Kelantan FC diibaratkan seperti sedang ditimpa musibah selepas menjadi mangsa belasahan Selangor FC 2-11 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Kekalahan besar itu adalah yang ketiga berturut-turut dialami oleh The Red Warriors (TRW) selepas dimalukan oleh Terengganu FC 0-8 dan turut dibelasah oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-10 (agregat 1-15) dalam aksi Piala Malaysia minggu lalu.
Lebih menyedihkan apabila skuad pantai timur itu menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Malaysia bolos lebih 100 gol dan jumlah itu dijangka bertambah dengan saingan liga berbaki lima perlawanan.
Bekas pengendali Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, ia satu detik hitam dan perkara itu tidak pernah terbayang akan berlaku kepada Kelantan FC yang dahulu sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang digeruni.
"Bagi saya ini satu musibah dan detik hitam dalam sejarah bola sepak Kelantan. Sejak saya main bola daripada lewat 60an, saya kenal rakan-rakan di pasukan Kelantan seperti Mahadi Yusof, Nik Leh Nik Man dan ramai lagi. Tidak pernah Kelantan seteruk ini.
"Selalunya pasukan Kelantan ini ada imej tersendiri dan semangat luar biasa. Apabila dan jadi macam ini saya tumpang sedih," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Selepas perlawanan tersebut, ramai penyokong Kelantan FC menyuarakan agar pemilik pasukan itu Norizam Tukiman atau Zamsaham mengundurkan diri dan menjual pasukan itu kepada pemilik baharu.
Sebelum ini, prestasi merudum Kelantan FC itu dibayangi dengan pelbagai masalah dalaman pasukan termasuk isu tunggakan gaji dan kebajikan pemain sehingga pasukan itu telah diheret ke pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Apa yang berlaku ini satu mesej kepada pemilik pasukan. Kalau tak ada jiwa, tak payahlah ambil pasukan. Menyusahkan orang.
"Kalau kita masih ingat nama TRW itu satu nama besar pernah merangkul treble dan digeruni pasukan lawan. Namun, akhirnya terkulai hasil pengurusan yang tidak sensitif dan tidak peka dengan keadaaan.
"Kalau tak mampu, serahkan kepada orang lain. Bolos dengan jaringan banyak macam ini takkan pemilik tak ada perasaan lagi? Janganlah jatuhkan maruah Kelantan lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!