Kempen PRK dah mula 'panas'
KELANTANGAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengkritik Pas memanaskan suhu kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bermula sejurus berakhir proses penamaan calon pada Sabtu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dilaporkan menggesa pengundi memainkan peranan bagi mengelak 'kebanjiran' wakil rakyat Pas di Johor.
"Cukuplah hanya ada seorang wakil rakyat Pas di DUN Maharani manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai dua wakil iaitu di Bukit Kepong dan Endau.
"Pas ni seperti buluh runcing yang sentiasa bersedia untuk menikam kita daripada belakang kerana sudah dirasai UMNO ketika sama-sama dalam blok pembangkang sebelum ini.
"Hakikatnya, pada masa ini Bersatu menjadi kuda tunggangan kepada Pas apabila berjaya meraih kemenangan yang banyak menggunakan tiket Perikatan Nasional, (PN)," katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada majlis bertemu dengan jentera Barisan Nasional (BN) di Pejabat UMNO Bahagian Bakri, Muar.
Nada sinis Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mungkin sebagai membalas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Jumaat.
Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, PN yakin PRK Johor akan menguburkan UMNO dengan kemenangan gabungan tersebut memandangkan negeri itu bukan lagi kubu kuat parti terbabit.
Dakwan Sanusi, pengundi akan terus menolak UMNO dalam PRK itu disebabkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Situasi panas sebegitu dijangka berterusan sehingga tamat tempoh berkempen sebelum hari pengundian pada 9 September nanti.
PN sememangnya mahukan kerusi yang ditinggalkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu selepas koalisi berkenaan berjaya melebarkan pengaruh mereka pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.
PH-BN pula sudah pasti akan bermati-matian mempertahankan kedua-dua kerusi milik mereka itu apatah lagi UMNO pada PRN lalu mengalami episod kekalahan teruk.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengundi mampu sekat kebanjiran wakil rakyat Pas di Johor - Ahmad Zahid
'Bukan video sambutan Sanusi di Johor' - Polis
‘Kita tengok UMNO atau PN yang terkubur di Johor’ - Akmal
'Saya tiada hak pertikai kegilaan seseorang' - Ahmad Zahid
Sambutan PN di Johor luar biasa bos! - Sanusi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!