Aaron-Wooi Yik gagal pertahan gelaran juara dunia

Misi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan mereka musnah selepas terkandas di pusingan separuh akhir pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, awal pagi ini waktu Malaysia. - Foto fail Bernama
Misi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan mereka musnah selepas terkandas di pusingan separuh akhir pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, awal pagi ini waktu Malaysia. - Foto fail Bernama
A
A
A

MISI beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan mereka musnah selepas terkandas di pusingan separuh akhir pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, awal pagi ini waktu Malaysia.

Pada aksi di Royal Arena, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan kempunan ke final selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21 dalam tempoh 42 minit sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

Selepas ketinggalan empat mata di pertengahan set pertama, gandingan lawan bangkit menyaingi Aaron-Wooi Yik apabila mengikat kedudukan sebanyak tiga kali sebelum akhirnya menoktahkan kemenangan dramatik dengan perbezaan dua mata.

Pasangan Korea Selatan itu terus tampil garang di set kedua apabila mendominasi gelanggang untuk mendahului 11-7 sebelum terus mengutip mata di atas kesilapan Aaron-Wooi Yik yang semakin tertekan sebelum mengesahkan kemaraan ke final dengan kelebihan lapan mata.

Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan nombor empat dunia satu-satunya wakil negara yang berjaya mara sehingga ke pentas separuh akhir Kejohanan Dunia 2023 selepas mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia pada tahun lepas.

Di pentas final, Kang-Seo akan bertemu pasangan tuan rumah Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menewaskan pilihan ketiga Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 17-21, 21-18, 21-19 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.

Sementara itu, final beregu wanita mempertemukan Chen Qingchen-Jia Yi Fan dari China yang juga pilihan pertama dengan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia sementara saingan beregu campuran, pilihan pertama dari China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong akan berdepan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan.

Bagi final saingan perseorangan wanita, pilihan pertama dari Korea Selatan An Se Young akan membuat perhitugan berdepan Carolina Marin dari Sepanyol manakala acara perseorangan lelaki, Kunvalut Vitidsarn dari Thailand akan menentang pemenang antara Kodai Naraoka dari Jepun dan jaguh Denmark Anders Antonsen yang merupakan pilihan kedua. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!