Malaysia pacu pertumbuhan Tupperware

Pasaran kelima terbesar peringkat global

A
A
A

Fernandez menunjukkan produk Tupperware edisi khas sempena program ‘Jelajah Dunia Tupperware 2023’.
Fernandez menunjukkan produk Tupperware edisi khas sempena program ‘Jelajah Dunia Tupperware 2023’.

SHAH ALAM - Malaysia merupakan pasaran utama yang mampu meningkatkan pertumbuhan perniagaan Tupperware sekaligus menyokong keupayaan syarikat itu dalam persaingan di peringkat global khususnya dalam produk isi rumah.

Demikian menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tupperware Brands Corporation (Tupperware), Miguel Fernandez yang memaklumkan bahawa Malaysia merupakan pasaran kelima terbesar bagi jenama Tupperware selepas Brazil, Mexico, Amerika Syarikat dan China.

Malah, Tupperware katanya turut menyediakan peluang perniagaan kepada lebih 35,000 keluarga di Malaysia sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka menerusi jualan produk inovatif jenama ikonik dari Amerika Syarikat (AS) itu.

"Malaysia adalah salah satu daripada lima negara teratas bagi jualan kami. Kami bergantung kepada lima negara teratas untuk menyokong pertumbuhan kami. Justeru, amat jelas sekali Malaysia adalah pasaran utama bagi kami," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama sebuah agensi berita tempatan, baru-baru ini.

FERNANDEZ
FERNANDEZ

Fernandez berada di Malaysia sempena ‘Jelajah Dunia Tupperware 2023’ iaitu sebuah program lawatan pasaran terbesar Tupperware di seluruh dunia. Turut serta dalam program itu ialah Ketua Pengawai Komersialnya, Hector Lazama.

Dalam pada itu, Fernandez turut memberitahu pihaknya merancang untuk terus menghasil serta memperkenalkan lebih banyak produk isi rumah yang menarik dan berkualiti kepada para pengguna Tupperware.

Malah, Tupperware katanya telah berjaya menyusun semula struktur kewangan syarikat itu dan yakin akan terus menjadi jenama terkemuka dalam tempoh 75 tahun akan datang.

Cabaran semasa

Sebelum ini, Tupperware mengalami isu kekurangan tunai dan telah pun melaksanakan langkah-langkah pemulihan menerusi penstrukturan semula hutangnya.

Pelaksanaan langkah pemulihan semula syarikat itu dijangka meningkatkan fleksibiliti kewangan Tupperware selain mampu menyediakan peruntukan kira-kira AS$150 juta (RM 695.9 juta) faedah tunai dan yuran seterusnya melanjutkan tempoh matang kemudahan hutang syarikat itu.

Mengulas lanjut mengenai cabaran kewangan Tupperware, Fernandez memaklumkan situasi yang dihadapi syarikat itu telah berakhir selepas melaksanakan langkah pemulihan tersebut.

"Kami dapat menyusun semula hutang kami, meneruskan perniagaan dan memantapkan pasukan jualan. Kami sedang merancakkan semula pasukan jualan kami di seluruh dunia,” jelasnya.

Pengeluaran produk berkualiti

Sementara itu, Fernandez memaklumkan bahawa Tupperware melaksanakan peyumberan luar pengeluaran produknya kepada kemudahan pihak ketiga di Malaysia.

"Kami menghasilkan pelbagai jenis kategori produk. Jadi, kelebihan kami dalam industri kami adalah acuan yang sangat khusus.

“Jika lebih banyak acuan berada di kilang yang sama, ia tidak membantu (pengeluaran). Adalah lebih baik meletakkan banyak acuan di banyak negara, supaya kami boleh menghasilkannya supaya terus memenuhi permintaan pengguna,” jelas beliau.

Produk pengisar mudah alih Tupperware yang baharu dilancarkan di Malaysia.
Produk pengisar mudah alih Tupperware yang baharu dilancarkan di Malaysia.

Menurutnya, Tupperware mempunyai kilang pembuatan di beberapa negara antaranya di Belgium, Brazil, Korea Selatan, Mexico, China, India, Portugal, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Malah, Tupperware juga mengeluar serta melancarkan produknya berasaskan faktor geografi untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan. Strategi itu termasuk melancarkan produk edisi terhad bagi setiap acara atau peristiwa penting kepada para pengguna di sesebuah negara.

Pada masa sama, Tupperware menurut Fernandez, melaksanakan dua pendekatan strategi bagi menarik para pelanggan dalam kalangan generasi muda iaitu menerusi inovasi serta teknologi.

“Generasi muda berinteraksi antara satu sama lain melalui telefon pintar. Apa yang kami lakukan ialah membina instrumen supaya mereka boleh menjual serta mengiklankan produk secara digital yang merupakan platform terbaik menarik pelanggan,” ujarnya.

Tambah Fernandez, secara keseluruhannya, produk Tupperware diterima baik serta mendapat reaksi positif daripada generasi muda seperti produk pengisar mudah alih yang baharu dilancarkan di Malaysia.