Empat kapal TLDM sertai OSTEX
KUANTAN - Sebanyak empat buah kapal diraja (KD) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabit dalam Operational Sea Training Exercise (OSTEX) di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Pantai Timur Semenanjung selama tiga hari bermula Rabu lalu.
Pegawai Memerintah KD Pahang, Komander Mohamed Khairun Zakaria berkata, antara kapal yang terlibat iaitu KD Pahang, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Laksamana Tan Pusmah, KD Perdana dan sebuah helikopter Fennec.
Menurutnya, OSTEX ini diadakan untuk melaksanakan latihan integrasi di kawasan operasi maritim sekali gus meningkatkan tahap kompetensi warga armada serta menguji tahap aset-aset di Markas Wilayah Laut 1.
“Latihan ini meliputi latihan taktikal peperangan, latihan menggeledah, latihan pendaratan helikopter di geladak kapal, latihan mencegah kebanjiran dan melawan api, latihan pemindahan di laut, latihan menyelamatkan orang jatuh laut serta evolusi ilmu kelautan.
“Ia sebagai persiapan bagi menghadapi eksesais terbesar TLDM iaitu Eksesais Kerismas dan Eksesais Taming Sari yang dirancang akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penglibatan pegawai dan anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada siri OSTEX kali ini menunjukkan kolaborasi yang erat antara agensi khususnya pada sesi latihan menggeledah bot-bot nelayan dilakukan secara bersama.
Katanya, ini pasti akan memberi impak positif terhadap peningkatan tahap kompetensi warga armada dan kesiagaan aset-aset yang terbabit.
“Semua siri latihan yang dirancang dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya.
Mohamed Khairun yang juga Komander Gugus Tugas bagi OSTEX 6/19 berkata, keadaan di kawasan latihan terutamanya di perairan ZEE Malaysia juga didapati berada dalam keadaan yang aman, terkawal dan bebas dari sebarang pencerobohan oleh anasir luar termasuk bot-bot nelayan asing.
Beliau berkata, pelaksanaan rondaan secara berkala dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan oleh TLDM dan agensi-agensi maritim yang lain berjaya memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Ia terbukti dengan pengurangan secara mendadak kes-kes pencerobohan bot-bot nelayan asing di dalam perairan negara buat ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!