PRK: Pengundi dinasihat tolak parti main isu 3R
MUAR - Pengundi yang akan memilih wakil mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dinasihati menolak habis-habisan calon dari parti politik yang sering memainkan isu 3R (raja, agama dan kaum) dalam kempen mereka.
Ketua Wanita Amanah Kelantan, Dr Hafidzah Mustaqim yang menitipkan nasihat itu berkata, ini termasuk menolak pemimpin parti yang suka memberi gelaran buruk kepada individu lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang membuat kejutan merampas kerusi Kota Lama daripada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan lepas itu berkata, misalnya pihak pembangkang yang baru-baru ini membuka tirai kempen di Simpang Jeram dengan mengisi ceramah mereka dengan menggunakan kata-kata yang kurang baik di samping memberi gelaran buruk kepada individu tertentu.
"Bagi saya yang boleh lawan perkara ini adalah Malaysia Madani, tapi konsep itu masih belum dapat disampaikan sepenuhnya.
Pengalaman saya di Kelantan kita bukan lawan manifesto, kita lawan sentimen agama, perkauman dan raja-raja yang dimainkan,” katanya.
Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas mengiringi calon PH PRK Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman ke pusat penamaan calon pada Sabtu.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di kedua-dua kerusi berikutan kematian penyandangnya iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
PRK ini menyaksikan saingan tiga penjuru di kedua-dua kerusi berkenaan, antara PH, PN dan Bebas. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Pengundi mampu sekat kebanjiran wakil rakyat Pas di Johor - Ahmad Zahid
'Bukan video sambutan Sanusi di Johor' - Polis
‘Kita tengok UMNO atau PN yang terkubur di Johor’ - Akmal
'Saya tiada hak pertikai kegilaan seseorang' - Ahmad Zahid
Sambutan PN di Johor luar biasa bos! - Sanusi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!