10 tahun hidup dalam penyesalan bunuh kanak-kanak tanpa niat
KOTA KINABALU - Kesilapan yang dilakukan kerana membunuh tanpa niat seorang kanak-kanak bukan pengakhiran bagi seorang wanita yang telah menerima hukuman selama hampir 10 tahun di Penjara Wanita Kota Kinabalu.
Dikenali sebagai Clarice, 39, ibu kepada empat anak yang masih dalam penyesalan berazam akan menjalani kehidupan yang lebih baik sejurus keluar daripada tembok besi pada tahun depan.
Menurut Clarice, dia tidak sabar untuk memulakan kehidupan baharu dengan keluarganya selepas 10 tahun terpisah dengan mereka.
"Ini adalah kesilapan yang saya lakukan tanpa sedar jadi banyak perkara yang saya pelajari di sini dan menyesal dengan apa yang telah dilakukan.
"Kehidupan di dalam tembok ini mengajar saya erti kehidupan yang sebenar kerana kami turut dibimbing bukan saja mengenal nilai hidup tapi juga mengenai tuhan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mengimbas semula jenayah yang dilakukan, Clarice berkata, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun kerana membunun tanpa niat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dijaganya.
"Kejadian berlaku pada 2014, ketika itu saya baharu pulang kerja dan saya mengambil alih tugas menjaga kanak-kanak itu kerana ibunya pula keluar bekerja.
"Ketika kejadian saya sedang membuat susu dan kanak-kanak itu duduk di atas meja namun terjatuh. Saya dapati kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bergerak dan bergegas menghantarnya ke hospital namun disahkan telah meninggal dunia.
"Saya menyerahkan diri kepada polis dan akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun tetapi dikurangkan sehingga 10 tahun," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penghuni yang terlibat dengan jenayah mengakui desakan hidup untuk mendapatkan wang menyebabkannya tergamak memperdayakan orang lain dalam kes penipuan jual beli kenderaan.
Hana, 35, yang berasal dari Ranau berkata, dia terpaksa melakukan jenayah itu kerana perlu menanggung tiga anaknya yang masih kecil disebabkan suami yang tidak bekerja.
"Saya terlibat dalam kes jenayah komersial di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan jual beli kenderaan pada 2021.
"Ketika itu masih pandemik Covid-19 dan saya tidak dapat keluar bekerja jadi saya jual kereta kami. Tetapi dalam masa sama suami juga turut menjual kereta berkenaan dan menyebabkan kami berebut masing-masing mahu menjual kereta yang sama," katanya.
Namun, Hana mengakui dia bersyukur kerana di dalam penjara dia akhirnya belajar pelbagai perkara termasuk ilmu agama.
"Saya seorang mualaf, jadi dulu semasa di luar saya tidak tahu mengenai agama Islam, memang kosong sepenuhnya.
"Tetapi selepas masuk ke sini baharu saya tahu al-Quran, solat malah saya juga wakil peringkat penjara hafazan tahap kedua dan mendapat tempat ketiga pada Mei lalu," katanya sambil bersyukur kerana diberi hidayah ketika berada di dalam penjara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!