Kelantan tumbang seekor lembu sempena Malaysia #QuranHour
KOTA BHARU - Rumah Ngaji Kelantan dengan kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Muhammadi bakal menumbangkan seekor lembu sempena Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini.
Menariknya, majlis yang diadakan di Masjid Muhammadi itu bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada Rabu sehari sebelum negara menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-66 tahun.
Pengerusi Rumah Ngaji Kelantan, Datuk Adnan Hashim berkata, dijangka seramai 4,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur akan hadir menjayakannya.
"Lebih menarik lagi, tema Malaysia #QuranHour 2023 iaitu ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ akan mengangkat tiga surah pilihan iaitu Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr.
"Kami berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk menjayakan majlis ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad akan merasmikan majlis berkenaan.
Ujarnya, peluang ini seharusnya tidak dilepaskan kerana ia juga sebagai kempen dan dakwah ke arah mempraktiskan ibadah membaca al-Quran serta menghayati kandungannya.
Bagi beliau, apa-apa yang membawa kebaikan wajar diteruskan tambahan berkenaan dengan al-Quran.
"Marilah kita menjadikan amalan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu ayat sehari dan mengikut kaedah yang betul bagi mengelakan kesalahan pada makna sebenar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!