Warga emas rentung dalam kebakaran
TANGKAK - Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Sungai Pilah, Bukit Gambir di sini pada Ahad.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.16 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dibantu sebuah jentera dan satu utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 6 x 12 meter musnah 80 peratus. Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.54 pagi.
"Dalam kejadian ini, seorang warga emas lelaki berusia 81 tahun rentung di bahagian dapur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, operasi masih dijalankan sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!