Agenda pemerkasaan wanita merosot pasca PRN15
SHAH ALAM - Gabungan parti politik Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) didakwa tidak lagi mengutamakan agenda pemerkasaan wanita kerana jumlah pelantikan kumpulan itu sebagai Exco dalam kerajaan negeri semakin merosot pasca pilihan raya negeri ke-15 (PRN15).
Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, mengambil contoh kerajaan Terengganu, bukan sahaja tiada lantikan wanita sebagai Exco tetapi protfolio Kebajikan dan Pembangunan Wanita diserahkan kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lelaki.
“Negeri Sembilan tampak lebih prihatin dengan melantik tiga Exco wanita sekali gus menjadikan ia mempunyai perwakilan terbanyak berbanding negeri lain.
“Kedah dan Selangor melantik dua Exco wanita manakala bagi Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing hanya seorang bagi pentadbiran kali ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Bekas Ahli Parlimen Ampang itu turut mempersoalkan langkah PN di Terengganu yang hanya meletakkan seorang calon wanita iaitu Zuraida Md Noor untuk bertanding pada PRN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.
Sebaliknya, calon tersebut yang memenangi kerusi itu cuma diberikan tanggungjawab memegang jawatan sebagai Timbalan Exco, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.
Tambah beliau, Selangor yang sebelumnya dianggap sebagai negeri paling progresif dengan 50 peratus daripada keseluruhan ADUN adalah pemimpin wanita turut menampakkan penurunan daripada aspek representasi dalam posisi kepimpinan dan pembuat keputusan.
“Jumlah ADUN wanita Selangor pasca PRN15 yang semakin berkurangan secara tuntasnya dilihat berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya kegagalan parti-parti bertanding untuk meletakkan calon wanita di kerusi boleh menang.
“Melihat secara keseluruhan senario ini, kita khuatir perjuangan pemberdayaan kepimpinan wanita di negara ini akan terus menjadi lesu sekiranya masyarakat tidak lagi mengangkat kepimpinan wanita sebagai agenda yang serius.
“PRN yang lepas, 71 calon wanita bertanding, namun yang menang hanya 24 orang bersamaan 33 peratus dari keseluruhannya. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita telah melihat peningkatan signifikan dalam representasi wanita di kalangan Menteri Persekutuan, Exco Negeri dan juga wakil-wakil rakyat,” ujarnya.
Zuraida yang juga Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) memaklumkan, golongan wanita di negara ini perlu diwakili dengan seimbang kerana kemerosotan itu bakal meningkatkan jurang sekali gus merencatkan pembangunan serta kebajikan wanita secara umum.
Jelasnya, penyatuan dan kesefahaman antara semua pemimpin wanita perlu dicapai bagi memastikan representasi kaum tersebut ditingkatkan dalam kepimpinan negara dan negeri dapat dipenuhi serta mengimbangi pemusatan kuasa yang dimonopoli lelaki.
“Saya amat berharap, para pemimpin wanita Malaysia dapat bersatu tanpa mengira ideologi dan fahaman politik bagi memperkasakan semula agenda pemberdayaan wanita di negara kita.
“Untuk menjadi sebuah negara yang progresif, keseimbangan ini adalah amat perlu diperolehi agar nasib golongan wanita di negara ini akan terus terbela,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!