Messi pacu kemenangan Inter Miami
PEMAIN bintang, Lionel Messi mencipta sensasi apabila keluar dari bangku simpanan untuk meledak gol ketika membantu Inter Miami untuk layak ke playoff Liga Bolasepak Utama (MLS) dengan kemenangan 2-0 ke atas New York Red Bulls awal pagi Ahad.
Selepas seminggu Miami menjuarai Piala Liga-Liga dan layak ke final Piala Terbuka AS, Messi direhatkan oleh jurulatih Gerardo Martino, namun masuk sebagai pemain gantian selepas sejam permainan.
Messi tidak banyak terbabit selepas masuk dengan bekas rakan sepasukan Barcelona, Sergio Busquets tetapi akhirnya menyumbang gol pada minit ke-89.
Jordi Alba melambungkan bola ke kotak penalti kepada Messi yang berpusing sebelum menyungkitkan bola kepada Benjamin Cremaschi yang kemudiannya melakukan hantaran leret sebelum ditampan masuk pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu.
Diego Gomes sebelum itu membuka tirai jaringan buat Miami pada minit ke-37.
Sejak tiba di Inter Miami bulan lepas, Messi sudah menyumbat 11 gol dalam sembilan penampilan bagi semua pertandingan.
Kemenangan itu melonjakkan Miami dari tangga tercorot Eastern Conference dan mengurangkan jurang posisi untuk ke playoff kepada 11 mata dengan berbaki 11 perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!