Taufan Super Saola ancam Filipina Utara
MANILA - Ribut tropika Saola menjadi taufan super pada waktu subuh Ahad, mengancam untuk menurunkan hujan lebat dan angin kencang di utara Filipina, kata biro cuaca negara Filipina.
Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina berkata, Saola boleh membawa hujan lebat di kawasan pergunungan, yang boleh mencetuskan banjir dan tanah runtuh, menurut Xinhua.
Biro itu melihat Saola kali terakhir di perairan pantai wilayah Isabela di pulau Luzon utara. Saola bertiup ke selatan-barat daya "perlahan", membawa angin 185 kilometer (km) sejam dan tiupan sehingga 230 km sejam.
"Monsun barat daya yang dipertingkatkan oleh Saola akan membawa hujan sekali-sekala atau monsun di tanah besar Luzon dan wilayah Visayas di tengah Filipina dalam tempoh tiga hari akan datang," biro itu memberi amaran.
Saola adalah taufan ketujuh yang membadai negara kepulauan itu tahun ini.
Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana di seluruh dunia, dengan gunung berapi aktif, gempa bumi yang kerap, dan purata 20 taufan setahun, menyebabkan banjir dan tanah runtuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!