Liga Super: KDA FC berpeluang tamatkan kedudukan di tangga kedua
KEDAH Darul Aman (KDA) FC berada pada landasan tepat untuk merampas kedudukan tangga kedua carta Liga Super 2023 daripada Selangor pada baki lima perlawanan berdasarkan momentum yang semakin baik musim ini.
Pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, kejayaan kelabnya bangkit mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-3 pada saingan ke-21 Liga Super di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu memberikan motivasi untuk mengekalkan momentum tersebut pada baki perlawanan seterusnya.
"Sudah pasti kita juga mempunyai motivasi yang tinggi dalam kehidupan, malam ini memberikan kita ilham dan mimpi baharu dan mudah-mudahan semua orang berinspirasi pada malam ini.
"Tahniah kepada semua penyokong yang datang seperti penyokong JDT yang jauh datang dan penyokong KDA FC yang ramai," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
Perkara tersebut diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali yang melihat ruang untuk Sang Kenari beraksi di pentas Asia musim hadapan cerah.
"Kalau ikutkan perlawanan, kita mempunyai peluang untuk berada di tangga kedua liga cuma macam mana kita bergerak ke arah itu dalam tempoh lima perlawanan ini.
"Kita juga akan berjumpa Selangor di Alor Setar dan kalau momentum, disiplin dan cara ini kita bawa, saya rasa kita boleh 'fight' tempat tersebut bersama beberapa pasukan lain lagi," ujarnya.
Kejayaan mengikat JDT menyaksikan KDA FC kekal di tangga ketiga liga super dengan 44 mata iaitu lima mata dibelakang Selangor FC tetapi dengan kelebihan satu perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!