PRK: Suhaizan nafi wujud penolakan akar umbi UMNO

Suhaizan ketika ditemui pemberita selepas bertemu jentera BN di PDM Sungai Danga pada Ahad.
Suhaizan ketika ditemui pemberita selepas bertemu jentera BN di PDM Sungai Danga pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menepis dakwaan berlaku penolakan akar umbi BN untuk menyokong dirinya.

Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, dakwaan terbabit dirasakan sebagai propaganda yang digembar-gemburkan bagi meretakkan hubungan parti Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam Kerajaan Perpaduan.

"Tak benar (dakwaan diboikot akar umbi UMNO Johor), jika (diboikot) bagaimana kami (PH-BN) dapat adakan program pertemuan bersama dengan jentera dan Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN di PDM Sungai Danga pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebelum ini, tular kain rentang tertulis 'Kami cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan'

Mengulas isu berkenaan, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memberitahu, beliau dimaklumkan kain rentang itu bukan dipasang ahli atau akar umbi UMNO.

"Ini adalah propaganda serta tindakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan bukannya ahli UMNO. Ada pihak lain yang cuba membuat provokasi tidak benar terhadap saya.

"Saya ingin memaklumkan bahawa yang menurunkan kain rentang itu adalah sahabat daripada UMNO," katanya.

Suhaizan turut memaklumkan beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera PH-BN dan wujud keterbukaan ahli UMNO untuk menerima politik baharu di bawah Kerajaan Perpaduan PH-BN di peringkat pusat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!