Mukim Ulu Tembeling perintis Program Kampung Tanpa Tunai

Yu Man (empat dari kanan) dan Zahid (tiga dari kiri) ketika pelancaran Program Kampung Tanpa Tunai di Kampung Batal dekat Jerantut pada Sabtu.
Yu Man (empat dari kanan) dan Zahid (tiga dari kiri) ketika pelancaran Program Kampung Tanpa Tunai di Kampung Batal dekat Jerantut pada Sabtu.
A
A
A

JERANTUT - [KEMAS KINI] Program Kampung Tanpa Tunai anjuran Agrobank di Mukim Ulu Tembeling di sini yang juga perintis program di kampung di Malaysia dijangka dapat membantu lagi merancakkan sektor pelancongan di kawasan terbabit selain memberikan kemudahan buat penduduk dan pemain industri di kawasan tersebut.

Exco Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kuasa perbelanjaan pelancong menerusi kaedah pembayaran tanpa tunai.

"Kita bukan hanya untuk menarik jumlah pelancong tapi kita berharap kuasa perbelanjaan ditingkatkan.

"Dengan kekangan wang tunai yang mungkin tak cukup di tangan, dengan pilihan pembayaran tanpa tunai, pelancong lebih yakin untuk berbelanja, ia juga senang, selamat dan segera," kata beliau ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar sempena perasmian Program Kampung Cashless Mukim Ulu Tembeling di Kampung Bantal di sini pada Sabtu.

Program anjuran Agrobank dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Jabatan Pelancongan Pahang itu membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Mat Darling, Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi, Kampung Aur selain Kampung Bantal sendiri yang dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 5,000 penduduk di kawasan terbabit.

Ujar Yu Man lagi, untuk suku pertama dan kedua tahun ini, jumlah kehadiran pelancong meningkat 150 peratus iaitu lebih 60,000 berbanding 24,000 orang untuk tempoh sama tahun lepas.

"Ini satu perkembangan positif, saya mendapat maklum balas pemain industri seperti pemandu pelancong, pengusaha hotel gembira dengan situasi ini dan berharap selain pelancong luar negara, jumlah kehadiran pelancong domestik dapat ditingkatkan," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi memberitahu, ia adalah komitmen bank supaya penduduk luar bandar turut dapat menikmati kemudahan tersebut selain pemilihan mukim tersebut yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.

"Setakat ini, lima ejen bank disediakan di kawasan sekitar dan ini kampung pertama yang menyediakan urus niaga tanpa tunai.

"Kita akan teruskan usaha sampai ke Kuala Tahan dan situ akan dijadikan pusat urus niaga tanpa tunai untuk menembusi pasaran pelancong luar negara dan dalam negeri," jelas beliau.

Jelas Zahid, inisiatif itu untuk meningkatkan pendedahan kepada peniaga dan penduduk kampung untuk melakukan transaksi pembayaran berkonsepkan digital iaitu tanpa tunai melalui DuitNow selain memupuk aktiviti pembayaran lebih mudah dan selamat.

Selain di mukim tersebut, beliau juga memberitahu, program sama sudah dilaksanakan di Kolej Vokasional Temerloh, Bazar Ramadan Kuantan dan Pekan Sehari Temerloh di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bantal, Hamdan Ali mengalu-alukan program tersebut yang akan memberikan banyak kemudahan buat lebih 600 penduduk.

"Selama ini mungkin tak nampak apa fungsi kegunaan urus niaga tanpa tunai tapi bila dah buat penerangan sebegini nampak sambutan menggalakkan penduduk.

"Jadi saya berharap penduduk dapat menggunakan kemudahan yang ada ini sebaik mungkin," ujar beliau.

Bagi peniaga di kampung itu, Rosnani Mat Tahar, 52, gembira kerana kampung tersebut antara yang terpilih bagi kemudahan tersebut.

"Terlalu mudah, cepat dan selamat... selain itu saya pun tidak pening nak sediakan banyak wang tunai di kedai," kata wanita terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!