Malaysia #QuranHour mantapkan lagi keimanan kepada ALLAH

Lebih 500 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran Program Malaysia #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Masjid Semilang Seberang Jaya, pada Ahad.
Lebih 500 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran Program Malaysia #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Masjid Semilang Seberang Jaya, pada Ahad.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Penganjuran program Malaysia #QuranHour 2023 diharap menjadi cetusan yang melonjakkan semangat, meningkatkan usaha dan memantapkan lagi keimanan kepada ALLAH.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, melalui program ini ia dapat meningkatkan lagi kefahaman dan pengamalan masyarakat terhadap isi kandungan ayat suci al-Quran.

Menurutnya, program yang bertemakan 'Pemuda Merdeka,Pemimpin Abrar' membawa tiga surah untuk dibaca, difahami dan diamalkan oleh masyarakat khususnya golongan muda.

"Golongan muda hari ini adalah pemimpin hari esok. Marilah kita mengambil ibrah dari kisah Nabi Ibrahim yang semasa usianya masih muda belasan tahun, baginda sangat berakhlak mulia, bertutur kata dengan sopan dan beradab apabila berbicara walaupun dengan bapanya iaitu seorang musyrik penyembah berhala.

"Nabi Ibrahim telah menggunakan akal fikiran dengan bijaksana untuk mencari kebenaran dan mencari tuhan sebenar sekalian alam," katanya ketika berucap pada program Malaysia #QuranHour 2023 yang diadakan di Masjid Sembilang, di sini pada Ahad.

Hadir sama dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah dan Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman.

Program yang berlangsung bermula jam 8.30 pagi itu dihadiri lebih 500 peserta termasuk dari 66 buah Rumah Ngaji di negeri ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Salim turut menyeru agar masyarakat Islam tanpa mengira usia agar memperbaharui tekad dan berbekalkan segala nikmat kurniaan ALLAH SWT untuk membina umat yang berpegang kepada prinsip dan ajaran Islam dengan kuat.

Wan Salim ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Malaysia #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Masjid Semilang Seberang Jaya.
Wan Salim ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Malaysia #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang yang diadakan di Masjid Semilang Seberang Jaya.

"Marilah kita mencontohi pemuda-pemuda ashabul kahfi yang mempertahankan keimanan dengan berjuang menentang raja yang zalim. Maka mereka telah diselamatkan dan diangkat darjatnya oleh ALLAH SWT.

"Marilah juga kita mengambil iktibar dari keburukan akhlak pemuda-pemuda yang membunuh unta dalam kisah Nabi Saleh yang mengakibatkan turunnya petir yang kuat dan gempa bumi yang sangat dahsyat memusnahkan penempatan al-Hijr kaum Thamud," tambahnya lagi.

Program Malaysia #QuranHour diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.

Lokasi perdana bagi Malaysia #QuranHour akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos selain ia turut dilaksanakan di beberapa lokasi utama di seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!