OKU gigih jalan kaki jual kad prabayar
Dia yang dilahirkan buta gigih berjalan kaki atau menaiki teksi mencari rezeki di sekitar kediamannya dekat Stulang Baru, di sini.
“Ada kalanya, pakcik ke Kampung Melayu untuk menjual kad prabayar secara bergerak,” katanya selepas terima sumbangan Bersatu cawangan Kebun Teh dalam satu majlis ringkas yang dianjurkan di Larkin, di sini, kelmarin.
Program disempurnakan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Zais Mohd Akil.
Hadir sama, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli.
Katanya, meskipun pendapatan diterima tidak seberapa, dia gembira kerana berjaya berusaha mencari rezeki sendiri sebagaimana yang disarankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya OKU berkerja.
Ahmad berkata, selain menyara diri dengan menjual kad prabayar, dia turut menerima bantuan JKM sebanyak RM400 sebulan.
“Saya tinggal seorang diri. Syukur, jiran-jiran selalu membantu saya.
“Saya mempunyai seorang anak yang tinggal di sekitar bandar raya ini dan dia selalu datang bersama dua anaknya menziarahi saya,” katanya.
Bapa tunggal yang berpisah dengan isterinya sejak 2004 itu berkata, ketika usianya masih muda dia pernah bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Pakcik buta mata kiri sejak lahir lagi. Manakala, mata kanan pakcik masih boleh nampak sedikit.
“Namun, semakin lanjut usia, penglihatan mata kanan semakin kabur dan hanya bayang-bayang sahaja kelihatan,” katanya.
Sementara itu, Razrul Anwar berkata, setiap penerima mendapat sumbangan barangan keperluan rumah dan dapur seperti beras dan makanan kering.
“Setiap bulan kami akan menyampaikan sumbangan kepada penerima berbeza yang mana mereka dipilih menerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di sekitar Johor Bahru,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!