Tanpa KFA, kerjaya saya musnah: Alex
PEMAIN tengah Kedah, Azammuddin Akil yang berehat selama lapan bulan akibat kecederaan terhutang budi kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk beraksi bersama Lang Merah pada musim ini.
Pemain berpengalaman itu mula mempamerkan keyakinan apabila buat pertama kali diturunkan pada hujung perlawanan mengantikan Farhan Roslan ketika Kedah mengikat PKNS FC 1-1 pada aksi Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman, semalam.
"Saya syukur dapat beraksi kembali. Saya dua kali menjalani pembedahan kerana kecederaan dan yang kali pertama gagal. Bagi pembedahan kali kedua pula Alhamdulilah berjaya.
"Pasukan perubatan dan fisioterapi Kedah menjaga saya dengan baik sekali. Biar semua tahu bahawa saya datang ke sini untuk bermain bola tanpa gaji selama lima bulan, saya berkorban untuk kerjaya saya dan saya syukur dapat kembali beraksi pada malam ini (semalam).
"Terima kasih kepada ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak kerana berterusan memberikan motivasi kepada saya," katanya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Alex di kalangan penyokong berkata, tanpa KFA kerjayanya sebagai pemain bolasepak profesional bakal musnah.
Menurutnya, motivasi tinggi yang diberikan rakan-rakannya turut membakarkan lagi semangatnya untuk kembali membuat kemunculan semula selepas berehat panjang.
"Saya sudah bersedia untuk beraksi kembali dan akan berusaha untuk mengembalikan kecergasan sepenuhnya dengan beraksi dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.
Tempoh rehat selama 8 bulan adalah satu waktu yang panjang buat seorang pemain profesional untuk kembali berada pada tahap terbaik semula namun saya akan berusaha," katanya.
Jelas Alex, tahap kecergasan kini berada tahap 90 peratus dan perlu mengambil sedikit masa lagi untuk mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau berkeyakinan 70 peratus pasukannya mampu melangkah ke final Piala FA musim ini dan piala tersebut adalah antara sasaran utama yang telah diletakkan oleh pihak pengurusan KFA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!