PUCHONG - Keasyikan gadis pelayan pelanggan (GRO) melayan pelanggan berhibur di sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri Puchong, dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa, awal pagi tadi. Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, ketika serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, rata-rata pengunjung pusat hiburan berkenaan sedang leka berhibur sehingga tidak menyedari premis diserbu. "Sebaik menyedari diserbu, GRO terbabit lari bertempiaran. Bagaimanapun kecekapan anggota serbuan berjaya menahan kesemua mereka. "Hasil operasi ini seramai 14 GRO membabitkan lapan warga Vietnam dan enam warga Thailand ditahan. Turut ditahan dua warga tempatan disyaki penjaga premis" katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan. Beliau berkata, semakan mendapati pusat hiburan terbabit bukan sahaja dikesan menyajikan GRO warga asing sebagai pelayan pelanggan, malah turut melanggar syarat lesen dengan beroperasi lebih masa. Katanya, kesemua GRO terbabit memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial. "Pemeriksaan turut dibuat terhadap lebih 50 pengunjung sebelum dibebaskan setelah selesai proses dokumentasi. "Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut," katanya. Kes disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen.