Rakyat Johor tidak mudah terima isu 3R
ROMPIN - Pengundi di negeri Johor tidak mudah menerima isu 3R (raja, agama dan kaum) sekiranya isu itu kembali dimainkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rasional politik pengundi Johor amat berbeza dan mereka akan menolak isu sempit termasuk 3R yang pernah dibangkitkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini.
Menurutnya, sikap rakyat Johor berbeza berbanding sikap pengundi di negeri-negeri isu itu pernah dimainkan.
"DUN Simpang Jeram pernah menjadi kubu kuat Pas dan kali ini mereka cuba untuk merebut semula kawasan itu memandangkan parti itu telah memenangi DUN Maharani pada PRN Johor yang lalu.
"Mungkin isu 3R akan terus dimainkan namun pada PRK ini, saya yakin rakyat Johor akan menolaknya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda Ulu Keratong di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, pada PRK Parlimen Pulai dan DUN) Simpang Jeram, UMNO telah mengambil langkah menambah luas penggunaan media sosial bagi menghadapi perang saraf parti lawan.
Menurutnya, perang saraf dalam pilihan raya kini telah berlaku anjakan kepada komunikasi tanpa lisan khususnya melalui media sosial bagi menguasai minda dan sikap pengundi.
"Pada PRN di enam negeri sebelum ini, pengunaan media sosial oleh UMNO/BN kurang berkesan kerana ia masih baharu dimulakan dan pengikut pempengaruh kita agak ketinggalan.
"Kita belajar daripada pengalaman itu dengan menambah baik penggunaan media sosial melalui pelbagai pendekatan," jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, pengundi tegar UMNO tidak seharusnya terus keliru dengan pengunaan logo Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram nanti.
"Penjelasan tentang penggunaan logo PH telah diberikan pada majlis pelancaran jentera Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebelum ini dan tindakan susulan akan terus dilakukan pimpinan UMNO negeri.
"Saya yakin dengan bantuan pimpinan seluruh negeri Johor untuk jelaskan perkara ini, pengundi kita di negeri itu tidak seharusnya masih keliru.
"Pada masa sama, praktis untuk pengundi tegar BN belajar mengundi PH telah dibuat di peringkat lokaliti dan pusat daerah mengundi (PDM)," katanya.
Mengulas dakwaan kononnya ahli parti itu akan beralih kepada PN pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram nanti, Ahmad Zahid menyifatkan yang bercakap itu bekas pemimpin umno yang tahap 'gila talak' berada di peringkat optimum.
"Dakwaan bekas pemimpin UMNO itu bukan lagi mewakili parti tetapi bagi pihak seteru politik," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!