SPCAAM cadang kerajaan pertimbang nisbah gaji pekerja

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Callistus Antony D’Angelus
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Callistus Antony D’Angelus
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan agar mempertimbang kewujudan nisbah antara pekerja bergaji paling rendah dan tertinggi dalam sesebuah organisasi bagi memastikan jurang kekayaan serta pendapatan menjadi faktor utama kepada penyumbang krisis kos sara hidup yang teruk di negara ini dapat ditangani.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus berkata, langkah itu penting bagi memastikan hak dan kepentingan pekerja diberi keutamaan.

“Dianggarkan hanya enam peratus pekerja Malaysia mempunyai kesatuan pekerja termasuk dalam sektor awam yang tidak mempunyai hak perundingan kolektif.

“Tindakan pertama yang perlu dilakukan adalah menghapuskan pelbagai bentuk aktiviti antikesatuan yang telah dibiarkan terlalu lama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Khamis lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dasar sistem gaji progresif diluluskan di peringkat kabinet dan butirannya akan dibentang dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini dengan jangkaan pelaksanaan pada April atau Mei tahun depan.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperinci garis panduan dasar itu turut menetapkan pelaksanaan sistem gaji progresif tidak diwajibkan ke atas semua majikan swasta.

Mengulas lanjut, Callistus berkata, pekerja di negara ini tidak boleh diminta untuk terus sabar dengan sistem yang telah mengeksploitasi mereka terlalu lama.

Ujarnya, kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Ahad sedang mengambil strategi berdiam diri secara elegan sehingga tindakan mereka itu merugikan pekerja.

“Kerajaan harus melihat untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!