Cabaran Amirudin jadikan Sungai Klang indah seperti Sungai Melaka

Kejernihan dan keindahan Sungai Klang diharap dapat dikembalikan seperti sedia kala.
Kejernihan dan keindahan Sungai Klang diharap dapat dikembalikan seperti sedia kala.
A
A
A

SHAH ALAM - "Keadaan Sungai Klang begitu teruk sehingga seekor cacing pun tidak dapat hidup di dalam sungai ini pada masa kini."

Demikian kata Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh yang berharap kejernihan dan keindahan Sungai Klang dapat dikembalikan seperti sedia kala.

Beliau merupakan orang lama yang bermastautin di Kuala Lumpur sejak 1941 meluahkan rasa sedih melihat keadaan Sungai Klang yang pernah menjadi tempatnya bermain dan bermandi-manda kini rosak kesan pembangunan persekitaran.

"Saya sering bermain dan mandi di Sungai Klang berhampiran Jalan Dang Wangi (Campbell Road), sambil menangkap udang dan ikan air tawar di dalam sungai tersebut yang jernih dan menyegarkan.

"Namun sayang seribu kali sayang, keadaannya telah merosot kerana dicemari racun dan bahan cemar dari kilang beroperasi di tebing sungai yang kemungkinan melepaskan sisa air buangan yang tidak di proses terus ke dalam sungai," kongsinya.

Justeru, beliau berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengambil cabaran untuk mengembalikan keindahan dan kejernihan Sungai Klang.

"Besar kemungkinan beliau ada cita-cita untuk menjadi seorang Menteri Besar 'legenda' yang dinobatkan rakyat Selangor kerana melakukan sesuatu (perkara) luar biasa. Perkara luar biasa yang saya cadangkan adalah supaya mengembalikan keindahan dan kejernihan Sungai Klang seperti sedia kala.

"Tentu sekali beliau akan menerima cabaran ini untuk menjadi Menteri Besar legenda yang kekal dalam ingatan rakyat Selangor buat selama- lamanya. Insya-ALLAH," katanya.

Ujarnya, perkara itu bukan tidak mustahil untuk dilakukan kerana Sungai Melaka yang dahulunya sangat kotor dan busuk kini telah berubah menjadi tempat riadah dan tarikan pelancong.

Sungai Melaka yang dahulunya sangat kotor dan busuk kini telah berubah menjadi tempat riadah dan tarikan pelancong.
Sungai Melaka yang dahulunya sangat kotor dan busuk kini telah berubah menjadi tempat riadah dan tarikan pelancong.

"Pada permulaan tahun 60-an, saya pernah memegang jawatan Pegawai Daerah Melaka Tengah dan kemudian Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka. Sungai Melaka pada masa itu sangat kotor dan berbau busuk hingga tiada siapa pun yang mahu berada di tebing sungai tersebut.

"Bagaimanapun, kegigihan dan idea yang cemerlang bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam telah menjadikan sungai tersebut di transformasi menjadi sungai yang bersih dan tempat riadah bagi pelancong dari dalam dan luar negeri.

"Tebing sungai tersebut yang dulunya penuh dengan tandas dan tempat membuang kotoran telah berubah menjadi Bistro dan restoran yang indah.

Malah katanya, Sungai Melaka kini menjadi laluan yang sibuk dengan laluan bot besar yang membawa pelawat ke hulu hilir sungai-sungai tersebut menyaksikan keindahan prasarana Sungai Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!