PRK: Suhu kempen masih suam, perang poster, bendera hambar

Parti yang bertanding mula memasang bendera berhampiran Jalan Persimpangan Bakri bagi memeriahkan lagi suasana PRK DUN Simpang Jeram. - Foto Bernama
Parti yang bertanding mula memasang bendera berhampiran Jalan Persimpangan Bakri bagi memeriahkan lagi suasana PRK DUN Simpang Jeram. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suhu kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram masih lagi suam-suam kuku dengan 'enjin' jentera kempen bagi parti-parti yang bertanding dilihat baharu hendak dipanaskan dalam perlumbaan untuk memenangi hati pengundi.

Memasuki hari kedua tempoh berkempen, selepas tempoh penamaan calon semalam, hampir kesemua calon lebih selesa memilih pendekatan mengadakan pertemuan bersemuka bersama pengundi dalam skala kecil dan sederhana, tanpa program ceramah mega.

Jadual kempen calon, padat dengan kaedah kempen konvensional iaitu bertemu pengundi secara bersemuka, kempen rumah ke rumah, hadir ke kawasan tumpuan umum, ceramah kelompok kecil selain turut menggunakan kuasa tular di media sosial terutama bagi mendekati pengundi muda.

Di PULAI, poster dan gegantung calon serta bendera parti poster dan bendera parti yang bertanding masih tidak banyak kelihatan, tidak meriah seperti kelaziman di kawasan yang menghadapi pilihan raya dan hanya tempat tertentu sahaja digantung bahan kempen seperti di kawasan kubu kuat masing-masing.

Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pula memilih menggunakan pendekatan turun padang bertemu secara bersemuka dengan pengundi di setiap kawasan pusat daerah mengundi (PDM) selain menghadiri ceramah kelompok dan skala sederhana.

Berbekalkan pengalamannya selaku bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan tidak kekok bertemu dengan akar umbi daripada pelbagai latar belakang, malah beliau juga kelihatan selesa dan bersahaja untuk berdiri dan bercakap program ceramah dalam kelompok kecil.

Selain itu, kemunculan pelbagai pemimpin parti politik yang berpengalaman seperti Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut membantu dalam aktiviti kempen calon PH itu di Pulai.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar, 50, dan jentera PN banyak menggunakan pendekatan bersemuka seperti solat berjemaah di masjid, menyantuni pengundi di kedai makan dan juga mengunjungi kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat di Parlimen Pulai.

Sambil calon memperkenalkan diri dan latar belakangnya, jentera PN juga dilihat mengedarkan lencana butang kepada orang ramai.

Pemimpin tertinggi PN antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal juga turun padang menghadiri dialog bersama rakyat di Taman Tampoi Utama hari ini.

Tampil sebagai calon bukan pilihan, calon Bebas PRK Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi lebih selesa mendekati pengundi secara bersemuka dan memilih kawasan tumpuan awam seperti kedai makan dan pasar awam sebagai lokasi kempen.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu berkata, dengan kekuatan jentera kempen seramai 10 orang, strategi kempennya bagi minggu pertama lebih kepada kempen secara bersemuka dengan pengundi pelbagai lapisan masyarakat dan edaran risalah kepada pengundi.

Sementara itu di MUAR, walaupun perang bendera serta poster calon pada PRK Simpang Jeram masih kurang kelihatan di jalan-jalan utama, namun calon yang bertanding, terutamanya daripada PN dan PH, giat menggunakan kaedah kempen secara tradisional.

Agak menarik juga, apabila kedua-duanya menjadikan aktiviti solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan penduduk kampung, sebagai antara pengisian jadual kempen sejak semalam, sudah tentu bagi menyantuni dengan lebih mesra jemaah yang hadir.

Calon PH, yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, juga menggunakan kaedah kempen seperti mengunjungi penduduk di medan selera, sarapan pagi bersama komuniti, bertemu peniaga di pasar malam, selain menyantuni veteran-veteran tentera cawangan Muar.

Walaupun tiada ceramah mega dianjurkan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun padang membantu kempen dengan meyakinkan ahli UMNO supaya memberi sokongan kepada Nazri pada majlis perjumpaan dengan jentera BN DUN Simpang Jeram semalam.

PN yang mengetengahkan calonnya, Dr Mohd Mazri Yahya, dilihat menggabungkan pelbagai mod berkempen, seperti tinjauan mesra, ziarah penduduk, ceramah kelompok, sarapan di warung, audio siar, selain ceramah berskala besar yang disiarkan dalam 'Facebook live'.

Malah Dr Mohd Mazri yang tidak ketinggalan menghadiri majlis perkahwinan penduduk setempat sejurus selesai penamaan calon, turut menggunakan kelebihannya sebagai doktor memberikan pelbagai tips kesihatan ketika bertemu pengundi.

Abdul Hadi juga turut membantu kempen Dr Mohd Mazri sejak semalam dengan menghadiri Ceramah Perdana PN Johor di sini, selain menghadiri Dialog Bersama TGHA hari ini bersama pengundi Simpang Jeram.

Dalam kesibukan kesemua calon lain melakukan kempen untuk menarik hati pengundi, calon Bebas bagi Simpang Jeram, S Jeganathan masih dalam 'mod tenang' dan belum mengeluarkan sebarang jadual kempen.

Apabila ditanya tentang perkara itu, beliau memaklumkan poster dan benderanya masih belum siap dicetak. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram bermula hari ini

Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 9 pagi ini

PRK: Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

Ahmad Zahid, Hamzah iring calon PRK Pulai

PRK: Calon Bebas paling awal tiba di pusat penamaan calon Parlimen Pulai

PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram ditutup 10 pagi

PRK: Lautan merah, biru penyokong penuhi pusat penamaan calon

PRK: Penyokong PH-BN laung reformasi, tolak PN, tolak rasuah

PRK: Proses penamaan calon terkawal, tiada provokasi

PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!