Guru ajar murid jadi rasis
LUCKNOW - Pihak berkuasa India pada Sabtu berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang guru sekolah rendah yang mengarahkan murid menampar rakan sekelasnya yang beragama Islam secara bergilir-gilir.
Rakaman kejadian di Uttar Pradesh itu yang menjadi tular pada Khamis menunjukkan mangsa berusia tujuh tahun dikenakan ‘hukuman’ sedemikian hanya kerana tersalah menjawab soalan matematik.
“Kenapa tampar terlalu perlahan? Tampar dia dengan kuat lagi,” kata guru wanita itu tanpa menghiraukan tangisan murid lelaki berkenaan, malah dia turut mengarahkan rakan-rakan mangsa memukul bahagian tubuhnya yang lain.
Jurucakap polis, Satyanarayan Prajapat memaklumkan, mereka sudah mengesahkan klip tersebut dan akan bertindak terhadap guru tersebut.
Difahamkan, bapa kanak-kanak itu telah membuat laporan kepada pihak berkuasa di daerah Muzaffarnagar.
Rakaman video itu turut mengundang kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan pengguna media sosial, malah pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi menyalahkan parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) kerana mencetuskan sikap tidak bertoleransi terhadap agama.
“Mereka telah meracun minda kanak-kanak dengan sentimen Islamofobia sedemikian dan menjadikan sekolah sebagai tempat untuk menyebarkan kebencian agama.
“Pendidik tidak sepatutnya bersikap demikian. Ia adalah ‘minyak tanah’ sama yang disimbah BJP dan telah membakar setiap sudut di negara ini dengan api kebencian terhadap agama selain Hindu,” tegasnya menerusi platform X. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!