Prestasi di Kemboja boleh diperbaiki

Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan (PSNS) Tunku Zain Al-'Abidin, Tuanku Muhriz (kiri) beramah mesra bersama pemain Skuasy Aira Azman (dua dari kanan) dan Hannah (kiri) pada majlis pelancaran Pusat Skuasy dan Pertandingan Akhir Tuanku Muhriz Trophy pada Ahad. - Foto: Bernama
Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan (PSNS) Tunku Zain Al-'Abidin, Tuanku Muhriz (kiri) beramah mesra bersama pemain Skuasy Aira Azman (dua dari kanan) dan Hannah (kiri) pada majlis pelancaran Pusat Skuasy dan Pertandingan Akhir Tuanku Muhriz Trophy pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) optimis prestasi kurang memuaskan kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja, masih dapat diperbaiki dan ditambah baik menerusi pencapaian atlet pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China September ini.

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata, harapan itu, berdasarkan kepada post mortem yang telah dilaksanakan selain kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang sentiasa membantu persiapan atlet untuk ke temasya sukan itu.

"Semua penambahbaikan sedang berjalan, lepas Sukan SEA itu kita telah buat post mortem dan turut kerjasama dengan Nippon Sports Science University (NSSU).

"MSN dan MOM sentiasa bekerjasama, untuk pastikan kita tutup apa-apa jurang yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perlawanan akhir Trofi Tuanku Muhriz 2023, di sini pada Ahad.

Majlis penyampaian pingat perlawanan akhir itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaku Penaung Persatuan Squasy Negeri Sembilan.

Mengenai sasaran pingat di Sukan Asia, Hannah berkata, pihaknya masih menunggu keputusan beberapa kejohanan lagi, sebelum ia diumumkan oleh Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) tidak lama lagi.

Beliau berkata, tiada ramalan boleh dibuat setakat ini kerana ia bergantung kepada keupayaan atlet, selain berharap kesemua mereka akan dapat melakukan yang terbaik, pada temasya sukan berkenaan.

"Ini ialah sukan, bergantung kepada atlet, harap mereka dapat sokongan terbaik, tugas kerajaan bantu mereka sebaik mungkin, bila mereka masuk gelanggang ia terpulang pada mereka,” katanya.

Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!