Tok Gajah 'naik minyak' lanyak Kijang Hijau
TOK GAJAH 'naik minyak' selepas melanyak Sang Kijang Hijau 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
Pada perlawanan tersebut, Sri Pahang FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti oleh Mohd Azrif Nasurulhaq yang melepasi jangkauan penjaga gawang tuan rumah, Muhamad Ilham Amirullah Razali.
Minit ke-22, Tok Gajah terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah menerusi jaringan Sergio Aguero yang gagal diselamatkan oleh Muhamad Ilham Amirullah.
Tok Gajah terus 'naik minyak' selepas itu dengan meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-27 sekali lagi menerusi ketajaman penyudah Aguero.
Kelantan United cuba bangkit selepas itu, namun beberapa peluang yang dimiliki gagal disempurnakan sekali gus menyaksikan kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.
Bersambung babak kedua, Tok Gajah terus ghairah menambah jaringan namun rembatan Kpah Serman berjaya diselamatkan oleh Muhamad Ilham Amirullah.
Kpah Serman selepas itu membuktikan kejantanan penyudah dengan meledakkan jaringan keempat Tok Gajah menerusi tandukan pada minit ke-66 selepas tenang memanfaatkan lambungan rendah Aguero.
Ketika sedang ghairah melakukan serangan balas, Sang Kijang Hijau hampir dihukum dengan jaringan kelima pelawat namun lambungan pemain Tok Gajah sedikit sahaja melewati gawang gol tuan rumah.
Usaha Kelantan United memperoleh jaringan pertama akhirnya berhasil menerusi Royizzat Daud pada minit ke-77.
Gol tersebut terus menyuntik semangat Kelantan United untuk menambah jaringan namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.
Pemain gantian David Rowley menambah derita Sang Kijang Hijau apabila meledakkan jaringan kelima pada minit ke-90.
Kekalahan itu menyaksikan Sang Kijang Hijau kekal ditanggal ke-12 Liga Super dengan mengumpul lapan mata.
Sri Pahang FC berada di landasan terbaik untuk memintas Sabah FC selepas memperoleh 40 mata berbanding skuad Badak 42.
Bagaimanapun, Sri Pahang kurang dua perlawanan daripada Sabah FC.
Caption
Pemain Sri Pahang FC (kiri) cuba melepaskan rembatan ke arah gawang gol Kelantan namun berjaya dihalang oleh tonggak pertahanan.-IHSAN SRI PAHANG FC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!