PH mungkin hilang Simpang Jeram jika undi BN beralih - KJ
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram jika terdapat peralihan sebanyak 70 hingga 80 peratus undi Barisan Nasional (BN) kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kecil (PRK) itu pada 9 September ini.
"Peralihan undi pada PRK Simpang Jeram boleh berlaku jika undi BN pada PRN Johor sebanyak 6,062 ditambah undi PN (6,350) jadi 12,000...lebih banyak daripada PH dapat (8,749).
“70 peratus hingga 80 peratus peralihan undi BN ke PN sudah cukup (PH tewas di Simpang Jeram),” katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Ahad.
Bagaimanapun Khairy menjangkakan kerusi Parlimen Pulai pada PRK yang diadakan serentak dengan DUN itu dapat dipertahankan oleh PH-BN berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, gelombang PN mampu menembusi kubu kuat BN di Johor berdasarkan trend peralihan pengundi selepas pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.
Ujarnya, calon PN bagi kawasan tersebut mempunyai latar belakang yang cukup hebat.
“Kalau itu adalah trend saya rasa ini lebih daripada Sanusi Mania kerana mampu menarik golongan profesional dan cendekiawan Melayu.
“Seperti yang kita tahu pada PRN lalu ada peluang PN menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini berdasarkan jumlah pengundi,” ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!