PDRM tambah derita Penang FC
PDRM FC menjarakkan diri dari kelompok bawahan apabila melakar kemenangan kelapan musim ini setelah menewaskan Penang FC, 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Ahad.
Tiga mata diraih angkatan The Cops kendalian Datuk Yunus Alif menyaksikan kelab itu kembali mengutip mata penuh selepas kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Dalam perlawanan itu, Penang lebih menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, namun beberapa percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan
Bagaimanapun The Cops yang jarang melakukan percubaan akhirnya memperolehi jaringan gol sendiri Ousmane Fane pada minit ke-36 bagi memimpin perlawanan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, The Cops menggandakan deretan asakan bagi melebarkan jaringan pasukan, namun kekentalan bahagian pertahanan The Black Panthers menafikan percubaan tersebut.
Gol dicari PDRM akhirnya dijelmakan hasil tandukan James Okwuoso minit ke-73 sebelum rembatan Bruno Suzuki minit ke-93 melabuhkan tiga mata buat tuan rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!